Pengarah urusan ambil pesanan nasi ganja guna helikopter didakwa
IPOH, 9 Mei – Seorang pengarah urusan syarikat bergelar Datuk yang menerbangkan sebuah helikopter untuk mengambil pesanan bungkusan nasi ganja di Padang Ipoh didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan tidak mematuhi pelan penerbangan, tahun lepas.
Tertuduh Mohamed Raffe K. Chekku, 53, yang mengaku tidak bersalah didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Padang Ipoh di sini kira-kira pukul 9.50 pagi hingga 10 pagi, 23 Julai 2021.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohamed Raffe didakwa melanggar Kaedah-Kaedah Udara seperti yang ditentukan oleh Ketua Pengarah Penerbangan Awam dalam ‘Civil Aviation Directive 2 – Rules of the Air’ di bawah Chapter 3.
Ia tidak mematuhi ‘Flight Plan’ yang dikemukakan apabila telah membuat pendaratan sebuah pesawat jenis Bell 505 nombor pendaftaran 9M-RCI di lokasi selain daripada Aerodrome yang dinyatakan dalam Flight Plan.
Pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis dan kesalahan itu dikemukakan mengikut Peraturan 77(2) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 206 (3)(a) peraturan yang sama.
Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi seorang individu jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jean Sharmila Jesudason manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Dr Baljit Singh Sidhu.
Jesseca membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh dan menetapkan 29 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.