Pengawal keselamatan maut langgar lari

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

DUYONG 1 Julai – Seorang pengawal keselamatan maut selepas digilis kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah – Melaka – Jasin (AMJ) berhampiran lampu isyarat Bukit Piatu di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 9.10 pagi itu, R Murali, 46 yang menunggang motosikal jenis Honda NF100 maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Bukit Palah menghala ke arah Semabok.

Katanya, ketika mangsa melalui persimpangan lampu isyarat berkenaan, mangsa bergesel dengan sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti.

“Susulan itu, mangsa terjatuh sebelum digilis kenderaan terbabit.

“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

c0cae368-5aae-411f-97a9-55f47be991ef
MOTOSIKAL ditunggang R Murali bergesel dengan kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti. Foto PDRM

Mengulas lanjut, beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan waris mangsa dimaklumkan bagi pengecaman mayat.

“Usaha untuk mengesan saksi kemalangan dan kenderaan yang terlibat masih dijalankan.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

13190
Kongsi :
Previous post Orang Melaka sambut baik gaji minimum RM1,500
Next post Belajar bidang penternakan di madrasah
Ubah saiz-+=