Orang Melaka sambut baik gaji minimum RM1,500

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 Julai – Rata-rata rakyat negeri ini menyambut baik pengumuman kerajaan melaksanakan penyelarasan gaji minimum RM1,500 membabitkan majikan kurang lima pekerja berkuat kuasa hari ini.

Seorang pekerja swasta, Aidi Syadiq Mohd Nor Hashim, 30 berkata, ketetapan itu tiba tepat pada masanya dengan keadaan ekonomi semasa.

“Saya mewakili anak muda memang menyokong penuh pelaksanaan gaji minimum ini memandangkan kos sara hidup yang tinggi pada masa kini.

“Sekarang ini di mana-mana sahaja perlukan duit, jadi ia satu inisiatif yang baik daripada Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Nada sama turut disuarakan seorang lagi anak muda, Muhd Nur Fatih Mohd Nor, 22 yang berpendapatan kenaikan itu adalah sesuatu yang amat wajar.

“Dengan keadaan ekonomi semasa, kenaikan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban khususnya kepada anak muda yang baru hendak memulakan kehidupan alam pekerjaan,” katanya.

Seorang penolong akauntan Azurah Ahmad, 42 turut bersetuju dengan pelaksanaan gaji minimum itu, namun pada masa sama berharap kenaikan itu turut selari dengan usaha yang diberikan pekerja.

“Saya harap penerima kenaikan gaji itu dapat memberikan usaha dan keringat setimpal dengan kenaikan gaji yang diterima kepada majikan.

“Kenaikan itu memang berpadanan dengan keadaan semasa, tetapi ia bukan tiket untuk kita berbelanja mengikut kemahuan, sebaliknya berbelanjalah ikut keperluan,” katanya.

Semalam, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 melibatkan majikan yang mempunyai kurang lima pekerja akan berkuat kuasa bermula hari ini (1 Julai 2023).

Penguatkuasaan di bawah Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 itu melibatkan semua sektor termasuk perladangan, pertanian dan pembuatan kecuali perkhidmatan domestik dan aparentis.

Menurut Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, keputusan itu dibuat kerajaan selepas mengambil kira soal kesediaan majikan dalam kategori berkenaan bagi menguatkuasakan gaji minimum baharu kepada pekerja mereka.

Selain itu, pihaknya turut mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan berdasarkan jangkaan cabaran ekonomi serta kewangan yang bakal dihadapi tahun ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1752
Kongsi :
Previous post Lembu ‘sado’ 730 kg antara korban di Karnival Qorban House
Next post Pengawal keselamatan maut langgar lari
Ubah saiz-+=