Pengguna sambut baik pembukaan Malakat Mall

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat
ABDUL Ghaffar (kiri) dan JAAFAR Atan (kanan) memuji pembukaan Malakat Mall.

LENDU 28 Julai – Cadangan pasar raya terbiar di pekan Masjid Tanah, di sini diubah menjadi Malakat Mall mendapat reaksi positif daripada pengguna kerana ia mampu meningkatkan ekonomi Bumiputera.

Mereka menyambut baik usaha kerajaan negeri menarik pelabur tempatan menjalankan operasi perniagaan di MARA Mall yang terbiar sejak empat tahun lalu.

Mereka berharap pasar raya berkenaan mampu beroperasi sepenuhnya menjelang November depan bagi membantu meningkatkan ekonomi usahawan dan pengguna Islam di negeri ini.

Abdul Ghaffar Abdullah, 55, berkata beliau tidak kisah nama pasar raya berkenaan diubah kepada Malakat Mall yang dimiliki ahli perniagaan, Mohd Fadzil Hashim asalkan ia dimanfaatkan untuk pembangunan ekonomi anggota komuniti, khususnya usahawan Bumiputera.

“Sudah terlalu lama bangunan itu terbiar kosong tanpa aktiviti perniagaan dan usaha memulakan operasinya harus disokong seluruh anggota komuniti di kawasan ini bagi membantu memajukan ekonomi umat Islam,” katanya ketika ditemui di Pekan Masjid Tanah baru-baru ini.

Jaafar Atan, 57, berkata janji pemilik Malakat Mall untuk menyediakan 50 lot perniagaan tanpa mengenakan sewa kepada usahawan Bumiputera adalah peluang untuk usahawan memajukan perniagaan masing-masing.

Selain itu, peluang terbuka luas kepada anggota komuniti untuk memiliki saham dalam Koperasi Pembangunan Pengguna Islam (KoPPIM) yang menjadi sebahagian daripada penggerak Malakat Mall, harus direbut pengguna Islam bagi memastikan mereka turut memiliki pegangan dalam perniagaan pasar raya berkenaan.

“Saya berharap usaha itu berjaya direalisasikan dengan sokongan pengguna Islam yang mempunyai kuasa beli agak besar yang mampu membantu menjayakan perniagaan usahawan Bumiputera,” katanya.

Pasar raya berkenaan dibina oleh MARA tetapi terbiar sejak empat tahun lalu berikutan pelbagai masalah yang menghalang ia beroperasi.

Tempoh hari, Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd Fadzil dilaporkan berkata, ia adalah cawangan kedua selepas Malakat Mall yang sedia ada di Cyberjaya beroperasi sejak beberapa bulan lalu, sekali gus menyediakan peluang kepada lebih ramai usahawan Bumiputera dan anggota komuniti berkenaan membabitkan diri dalam perniagaan melalui pemilikan sahan dalam KoPPIM.

Katanya, pasar raya itu menyediakan 50 lot perniagaan yang tidak dikenakan sewa, sebaliknya usahawan perlu memberi sedikit pulangan kepada syarikat berkenaan selepas mereka mencatatkan keuntungan.

Beliau berkata, Malakat Mall meletakkan sasaran 100 pasar raya seumpama itu beroperasi dalam tempoh 10 tahun akan datang, manakala keahlian KoPPIM mencecah sejuta orang menjelang hujung tahun ini.

Setakat ini KoPPIM mempunyai 24,000 ahli dengan kadar pelaburan bulanan RM100 seorang dan koperasi itu meletakkan sasaran mengambil alih pasar raya terbiar di seluruh negara bagi membolehkan lebih ramai usahawan Bumiputera terbabit dalam memajukan ekonomi masyarakat Islam.

“Kebangkitan ekonomi Islam akan membolehkan kita mengambil alih 30 peratus perkongsian pasaran sektor runcit yang bernilai RM30 bilion dan nilai berganda pula mencecah RM110 bilion yang mampu mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan untuk komuniti Islam,” katanya.

Views:

418
Kongsi :
Previous post Masjid Bemban dijangka siap November ini
Next post Melaka contoh Falsafah Negara Bangsa
Ubah saiz-+=