Melaka contoh Falsafah Negara Bangsa

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 28 Julai – Melaka adalah contoh terbaik model pemupukan Falsafah Negara Bangsa kerana menampilkan keunikan budaya masyarakat majmuk sekali gus menjadikan negeri itu kaya dengan adat.

Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata kejayaan menjadi sebuah negara yang merdeka perlu dihayati dan dipertahankan oleh seluruh rakyat Malaysia, khususnya generasi selepas merdeka.

Katanya, rakyat di negara ini berjaya membuktikan perpaduan dan keharmonian kaum menjadi formula paling penting dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Sulaiman bersama barisan Exco kerajaan negeri serta wakil jabatan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 peringkat negeri di Auditorium Seri Negeri.

“Jika kita ingin melihat model pemupukan Falsafah Negara Bangsa, Melaka adalah contoh yang terbaik.

“Ini kerana dengan adanya keturunan Cina-Baba, Chetty, Portugis dan lain-lain yang boleh berpantun serta berseloka dalam Bahasa Melayu, cukup mencerminkan keunikan budaya daripada pelbagai kaum di Melaka.

“(Ia) sekali gus menjadikan Melaka sebagai negeri yang kaya dengan adat dan menjadi daya tarikan pelancong,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 peringkat negeri di Auditorium Seri Negeri, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Latipah Omar serta Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Ar Ismail Othman.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastuktur negeri Datuk Roslan Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti-Dadah negeri Rahmad Mariman dan Pengerusi Jawatankuasa Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Inovasi) Datuk Noor Effandi Ahmad.

Sulaiman berkata, pemupukan semangat patriotisme juga harus diperbesar dan dihayati oleh semua rakyat di negeri ini.

“Usaha ini berpaksikan kepada penghayatan Rukun Negara yang pada tahun ini juga merupakan sambutan 50 Tahun Rukun Negara.

“Ayuh rakyat Melaka, sahutlah cabaran kita dengan membuat ‘Satu Rumah Satu Bendera’,” katanya.

Dalam majlis berkenaan kira-kira 200 tetamu hadir termasuk barisan ketua jabatan serta ketua agensi peringkat negeri dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Views:

621
Kongsi :
Previous post Pengguna sambut baik pembukaan Malakat Mall
Next post Agong berkenan lawat Zoo Negara
Ubah saiz-+=