Sorting by

×

PENGORBANAN IBU BAPA, GURU TERAS KEJAYAAN PELAJAR – KM

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LINGGI 25 Oktober – Setiap kejayaan pelajar tersirat pengorbanan besar ibu bapa dan guru yang tidak pernah jemu berbakti demi kejayaan anak didik mereka, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, setiap pencapaian yang diraikan pada tidak lahir secara mudah, sebaliknya terbina hasil daripada doa, bimbingan dan sokongan berterusan daripada insan-insan yang memainkan peranan penting di sekeliling pelajar.

“Dalam pada kita meraikan kejayaan para pelajar, suka saya mengingatkan bahawa di sebalik setiap pencapaian, ada pengorbanan besar ibu bapa yang tidak pernah jemu berdoa.

“Tidak lupa juga para guru dan pengetua yang sentiasa berjuang serta kekal komited di barisan hadapan untuk mendidik pelajar mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat di Auditorium Universiti Islam Melaka (UNIMEL), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah dan Pengetua SMK Rahmat, Mohamad Saberi Salleh.

Menurut Ab Rauf, kejayaan para pelajar adalah hasil perjalanan panjang yang penuh dengan pengorbanan, ketabahan dan tekad yang kuat.

“Bukan sahaja oleh pelajar itu sendiri, tetapi juga oleh keluarga dan guru yang menjadi tulang belakang mereka sejak hari pertama menjejakkan kaki ke sekolah.

“Saya yakin, setiap perjalanan anak-anak ada kisah tersendiri dari langkah pertama menjejaki pintu sekolah sehinggalah ke saat melangkah ke pentas,” katanya.

Beliau turut menzahirkan harapan agar para pelajar terus berusaha tanpa mengenal erti putus asa serta menghargai jasa ibu bapa dan guru yang menjadi sumber kekuatan dalam menempuh cabaran masa depan.

“Gunakan setiap detik yang tersisa sebaiknya, percayalah kejayaan tidak akan mengkhianati mereka yang tidak pernah berhenti berusaha,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 175 pelajar diraikan sebagai manifestasi penghargaan dan pengiktirafan sekolah terhadap usaha, pengorbanan serta dedikasi pelajar sepanjang menimba ilmu di SMK Rahmat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

423
Kongsi :
Previous post KEMELUT PENIAGA PANTAI PUTERI DISELESAIKAN SECARA HARMONI
Next post ‘AL FATEH PASTI TERSENYUM DI TAMAN SYURGA’ – KEMBAR TIGA PENGUBAT RINDU MOHD FIKRY, ISTERI