Penguasa kanan SPRM dipenjara tiga tahun, dua sebatan salah guna wang rampasan US6.94 juta

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Seorang Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipenjara tiga tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyalahgunakan wang rampasan SPRM berjumlah US$6.94 juta.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas Shahrum Nizam Baharuddin, 41, menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan ketika sebutan kes hari ini.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dari tarikh tangkap pada 13 Sept 2021.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan penahanan tiga pegawainya bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Pada 12 April 2021, Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan Hasanah daripada pertuduhan melakukan pecah amanah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Suzana berkata hukuman yang dikenakan ke atas tertuduh diharap dapat memberi pengajaran kepadanya agar tidak mengulangi kesalahan sama.

Dalam pada itu, Suzana turut mengarahkan supaya harta yang dibeli menggunakan wang rampasan dan yang disita iaitu seutas jam tangan jenama Hublot Big Bang berwarna biru, sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Raptor, sebuah kereta Honda Civic, sebuah Mercedes-Benz, dua motosikal berkuasa tinggi jenama Ducati, sebuah rumah dua setengah tingkat di Kota Warisan Sepang, dua bidang tanah di Jerantut, Pahang dan wang tunai RM8,700, dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.

Turut diperintahkan untuk dilucut hak kepada kerajaan ialah wang tunai US$4.07 juta dan RM1.6 juta.

Mengikut pertuduhan pilihan, Shahrum Nizam didakwa menjadikan harta iaitu wang berjumlah US$6.94 juta bagi kegunaannya sendiri.

Dia melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Ketua Cawangan Tindakan Khas (CTK), Bahagian Siasatan, Aras 14, Blok C, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya antara 17 Dis 2018 dan 9 April 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda.

Terdahulu, peguam Ahmad Hafiz A Bakar yang mewakili Shahrum Nizam memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah mengaku bersalah dalam pertuduhan pilihan dan pengakuan itu perlu diberi kredit oleh mahkamah dalam menjatuhkan hukuman.

“Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan dia tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah sebelum ini.

“Kesalahan pertama ini merupakan faktor yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah dalam memberikan keputusan. Anak guam saya juga mengakui akibat kes ini, hidupnya dalam kegelapan,” kata peguam itu yang turut memaklumkan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dan bapa kepada dua anak berusia 10 dan 12 tahun.

Menceritakan mengenai latar belakang pekerjaan anak guamnya, Ahmad Hafiz berkata tertuduh telah berkhidmat dengan SPRM sejak 14 Nov 2005 dan dia memperoleh anugerah perkhidmatan cemerlang sebanyak empat kali sepanjang perkhidmatannya.

Katanya tertuduh menghidap kanser hidung dan satu laporan perubatan dari sebuah hospital swasta turut diberikan kepada mahkamah.

Menurut Ahmad Hafiz, aset yang dibeli menggunakan wang hasil daripada rampasan SPRM itu, telah dirampas dan disita oleh SPRM dan anak guamnya memohon maaf atas kesilapannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memohon mahkamah mempertimbangkan faktor kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh dalam menjatuhkan hukuman.

“Mahkamah perlu mengambil kira tahap keseriusan kesalahan dilakukan dan ia dilakukan oleh seorang penjawat awam yang diberi amanah dengan tugas tetapi mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri.

“Pendakwaan mohon mahkamah mengambil kira nilai wang yang terlibat dan kesalahan ini telah mencemarkan imej SPRM sebagai sebuah organisasi dan individu tertentu dalam organisasi tersebut secara khasnya,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

390
Previous post MPV terbabas, pemandu dan penumpang maut
Next post Webinar ‘Melaka Menggamit Dunia, Fajar Kebangkitan Baharu’ bawa aspirasi kerajaan negeri