Penguat Kuasa KPDNHEP wajar diiktiraf sebagai ‘frontliners’

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

TANJUNG BIDARA 7 Okt. – Pegawai Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) wajar diiktiraf sebagai sebahagian daripada pasukan barisan hadapan menangani pandemik COVID-19.

Mereka juga wajar diberikan insentif khas oleh kerajaan seperti yang dianugerahkan kepada pasukan barisan hadapan yang lain.

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, walaupun tidak berada di tengah panas dan hujan ketika mengadakan sekatan jalan raya (SJR) seperti anggota pasukan keselamatan, anggota penguat kuasa kementerian itu turut berjasa memastikan bekalan bahan makanan untuk pengguna sentiasa cukup.

“Mereka memeriksa premis perniagaan bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barangan sesuka hati dan mengelakkan berlakunya pembelian panik dalam kalangan pengguna.

“Setiap kali menerima aduan, mereka sentiasa bertindak segera menjalankan siasatan, terutama bagi memastikan bekalan bahan makanan dan barangan penjagaan kesihatan tidak terputus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Perbarisan Kawalan Kehormat Sempena Hari Penguat Kuasa KPDNHEP di sebuah resort di Tanjung Bidara semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman.

Sehubungan itu beliau meminta kerajaan memberikan insentif berkenaan manakala anggota masyarakat diminta memberikan penghargaan kepada pengorbanan anggota penguat kuasa dalam menjamin kelangsungan bekalan bahan makanan sepanjang
pandemik COVID-19.

Beliau berkata, kini ada seramai 2,274 pegawai dan anggota terbabit di seluruh negara dan pengambilan pada masa depan akan menjurus kepada mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan berkaitan undang-undang.

Katanya, kecekapan pegawai dan anggota terbabit membolehkan kes berprofil tinggi yang membabitkan aktiviti skim piramid oleh Monspace (M) Sdn Bhd dijatuhi hukuman denda RM10 Juta baru-baru ini.

“Dua lagi kes yang berjaya dilucut hak wang tunai tahun ini adalah kes penyelewengan barang kawalan gas petroleum cecair (LPG) sebanyak RM70,000 dan satu lagi urus niaga salah laku skim piramid sebanyak RM613,000,” katanya.

Views:

1311
Kongsi :
Previous post Lelaki maut motosikal bertembung van kilang
Next post KPDHNEP rekodkan RM26.19 juta nilai rampas sepanjang tahun ini
Ubah saiz-+=