KPDHNEP rekodkan RM26.19 juta nilai rampas sepanjang tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

TANJUNG BIDARA 6 Okt. – Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mencatatkan 356 kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan RM26.19 juta sepanjang tahun ini.

Sebanyak 40 kes mengikut akta sama diterima daripada serahan agensi kerajaan yang lain dengan nilai rampasan RM8.64 juta dicatatkan dalam tempoh berkenaan.

Pengarahnya Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, jumlah kes dan nilai rampasan itu membuktikan pegawai terbabit turut membantu anggota komuniti menghadapi kesukaran akibat pandemik COVID-19 sejak Mac lalu.

“Tahun ini amat mencabar kerana penularan pandemik COVID-19, tetapi pegawai penguat kuasa tetap menjalankan tugas memastikan bekalan keperluan asas dan barangan kawalan untuk pengguna sentiasa mencukupi, selain memastikan peniaga tidak menaikkan harga barangan sesuka hati,” katanya.

Beliau berucap pada program Perbarisan Kawalan Kehormat Sempena Hari Penguat Kuasa KPDNHEP yang dirasmikan Menteri berkenaan, Datuk Alexander Nanta Linggi di sebuah resort di Tanjung Bidara semalam.

Katanya, 517,409 premis diperiksa sepanjang tempoh berkenaan dan daripada jumlah itu, 7,584 kertas siasatan dibuka berdasarkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan RM60.62 juta.

Selain itu, kompaun RM1.69 juta dan denda sebanyak RM9.34 juta dikutip manakala jumlah aduan yang dicatatkan adalah 25,707, katanya.

Beliau berkata, tahun ini juga mencatatkan satu kes berprofil tinggi membabitkan aktiviti skim piramid oleh syarikat Monspace (M) Sdn Bhd yang sudah dijatuhkan hukuman denda RM7 juta kerana kesalahan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA)
2001.

Selain itu, kejayaan juga dicapai mengikut Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 yang membabitkan denda RM2 juta dan wang tunai dalam 17 akaun bank sebanyak RM998 juta yang sudah dilucut hak dan dijadikan hasil kepada kerajaan.

“Dua lagi kes yang berjaya dilucut hak wang tunai adalah kes penyelewengan barang kawalan gas petroleum cecair (LPG) sebanyak RM70,000 dan kes urus niaga salah laku skim piramid sebanyak RM613,000,” katanya.

Beliau juga berkata, sebanyak 840,000 premis diperiksa di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 12,195 kertas siasatan dibuka berdasarkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan RM61.44 juta sepanjang 2019.

Jumlah kompaun sebanyak RM4.37 juta dikenakan dan 21,656 aduan diterima serta berjaya diselesaikan tahun lalu, katanya.

Views:

341
Kongsi :
Previous post Penguat Kuasa KPDNHEP wajar diiktiraf sebagai ‘frontliners’
Next post KPDNHEP cadang ambil alih Tanjung Bidara Beach Resort sebagai pusat latihan
Ubah saiz-+=