KPDNHEP cadang ambil alih Tanjung Bidara Beach Resort sebagai pusat latihan

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

TANJUNG BIDARA 7 Okt. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mempertimbangkan mengambil alih Tanjung Bidara Beach Resort, di sini sebagai pusat latihan penguatkuasanya.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pusat berkenaan penting bagi membolehkan latihan untuk pegawai terbabit diadakan secara berpusat, selain berfungsi sebagai lokasi pelbagai program membabitkan kementerian itu dengan anggota masyarakat.

“Selain bilik penginapan dan dewan, pusat peranginan itu turut dilengkapi padang kawad.

“Kita sedang mempertimbangkan perkara itu kerana ia penting untuk meningkatkan keberkesanan pegawai penguat kuasa menjalankan tugas yang semakin mencabar sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Perbarisan Kawalan Kehormat Sempena Hari Penguat Kuasa KPDNHEP di resort berkenaan, di sini semalam.

Difahamkan, padang kawad sebesar setengah padang bola sepak yang berfungsi sebagai lokasi program berkenaan dibina oleh kementerian itu beberapa tahun lalu dan sering dimanfaatkan untuk mengadakan program berkaitan kementerian berkenaan.

Resort itu terletak di atas puncak bukit berhampiran dengan pusat peranginan Perigi Lawa yang menjadi tumpuan pengunjung, terutama pada hujung minggu.

Bagaimanapun, pusat peranginan berkenaan mengalami penurunan jumlah pengunjung sejak beberapa tahun lalu, sekali gus memberi kesan kepada kadar penginapan di resort berkenaan.

Bagaimanapun, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) berusaha meningkatkan semula kehadiran pengunjung dengan memindahkan pasar malam dari tepi jalan di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara ke kawasan letak kenderaan berhampiran resort berkenaan pada setiap Isnin.

Views:

1966
Kongsi :
Previous post KPDHNEP rekodkan RM26.19 juta nilai rampas sepanjang tahun ini
Next post KM tak setuju PLKN di Melaka dijadikan lokasi penempatan sementara banduan
Ubah saiz-+=