KM tak setuju PLKN di Melaka dijadikan lokasi penempatan sementara banduan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 7 Okt. – Melaka menolak cadangan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di negeri ini dijadikan lokasi penempatan sementara banduan kes dadah Seksen 15(1) Akta Dadah Berbahaya.

Ia susulan, semalam Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar mengatakan pesalah kes terbabit akan ditempatkan di kem PLKN yang diwartakan sebagai penjara sementara, bagi mengurangkan kesesakan dan tahap kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan banduan.

Jelas Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali, beberapa isu perlu diperhalusi terlebih dahulu, terutamanya membabitkan soal keselamatan dan beberapa perkara lain.

“Saya tidak berapa setuju, jika benar. Harus diperhalusi akan keselamatan dan lain-lain perkara,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Memetik laporkan BERNAMA, Zulkifli dilaporkan berkata, bagi memperketat prosedur operasi standard (SOP) di penjara, beberapa langkah turut dilaksanakan melalui Perintah Tetap Komisioner Jeneral Penjara.

“Bagi mengurangkan tahap kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan banduan serta mengurangkan kesesakan, Jabatan Penjara mengambil langkah tambahan dan drastik seperti pesalah kes dadah Seksen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dikeluarkan dari penjara dan ditempatkan di beberapa kem Program Latihan Khidnat Negara yang diwartakan sebagai penjara sementara.

“Jumlah keseluruhan yang dapat ditampung kem-kem PLKN adalah disasarkan seramai 2,300 hingga 2,800 banduan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menyeru orang awam di luar penjara agar bertenang kerana penularan COVID-19 dalam kalangan banduan adalah dalam kawasan larangan yang tertutup dan dikawal ketat.

“Orang awam diminta memberikan keyakinan penuh terhadap langkah-langkah segera yang diambil pihak Jabatan Penjara di bawah kawal selia ketat daripada pihak KKM dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain,” katanya.

Views:

685
Kongsi :
Previous post KPDNHEP cadang ambil alih Tanjung Bidara Beach Resort sebagai pusat latihan
Next post COVID-19: PKPB di Sandakan, Papar, Tuaran dan Klang bermula 9 Oktober ini
Ubah saiz-+=