Pengusaha ‘Banana Boat’ lega dapat kembali beroperasi

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

TANJUNG BIDARA 3 Okt – Kejayaan Melaka memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai kelmarin, memberikan rahmat kepada banyak pihak, termasuk pengusaha bot pisang dan ‘donut’.

Pengusaha berkenaan di pantai peranginan Pengkalan Balak dan Padang Kemunting, di sini kembali tersenyum lebar selepas lima bulan terpaksa memerap peralatan berkenaan dalam stor.

Kebenaran diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk aktiviti riadah di pantai berikutan negeri ini melangkah ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak kelmarin, memberikan kelegaan kepada mereka.

Muhammad Iqram Wan Helmi, 23, berkata dia menurunkan bot pisang dan donut ke laut mulai pagi semalam dan diteruskan hari ini berikutan pantai berkenaan semakin dibanjiri pengunjung.

“Alhamdulillah, sejak negeri ini masuk Fasa 2 sebelum ini dan sekarang Fasa 3 PPN, pantai peranginan ini kembali dipenuhi pengunjung dari dalam negeri.

“Walaupun pengunjung dari negeri lain masih belum tiba kerana larangan merentas negeri masih dikuatkuasakan, Alhamdulillah, pengunjung dari dalam negeri semakin ramai,” katanya ketika ditemui di pantai Padang Kemunting hari ini.

Bot ‘donut’ turut menjadi perhatian pengunjung di pantai peranginan Pengkalan Balak dan Padang Kemunting.

Dengan mengenakan caj RM20 seorang, Muhammad Iqram ceria menyaksikan tujuh tempat duduk pada bot pisangnya dipenuhi penumpang.

Selain itu, caj RM25 seorang untuk bot donut juga menggembirakannya kerana ia mendapat sambutan baik pengunjung pantai.

Katanya, sepanjang Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dari Jun hingga 3 September lalu, kedua-dua bot berkenaan terpaksa dinaikkan ke darat bagi mengelakkannya rosak akibat tidak bergerak.

“Apabila kerajaan mengumumkan Melaka masuk Fasa 3, saya dan pengusaha bot pisang yang lain amat bersyukur dan berdoa agar Allah menamatkan pandemik COVID-19,” katanya.

Pengunjung pantai, Suhaimi Abdul Rahman, 35, berkata dia dan lima anggota keluarga tidak mahu melepaskan peluang meluncur laju di atas bot pisang selepas sekian lama terpaksa berkurung dalam rumah.

“Alhamdulillah, kami sangat teruja dapat berenang dan menyelam, selain naik bot pisang yang mengasyikkan,” katanya.

Rohana Abdul Malek, 29, berkata menaiki bot donut yang meluncur laju untuk pertama kali bukan setakat amat menyeronokkan, malah menguji kekuatan mental.

Katanya, pandemik COVID-19 mendidik manusia supaya menghargai kesihatan dan kebebasan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2430
Kongsi :
Previous post Piala Sudirman: Hajat ‘final’ Malaysia disekat Jepun
Next post KM santuni penduduk DUN Kuala Linggi dan Tanjung Bidara
Ubah saiz-+=