Pengusaha inap desa bimbang aset diancam hakisan

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat
KEADAAN hakisan yang merosakkan sebahagian kawasan di Pantai Pengkalan Balak. Foto Din Ahmad

TANJUNG BIDARA 18 Julai – Semakin membimbangkan kerana jarak pantai yang terhakis dengan bangunan 38 unit chalet hanya kira-kira enam meter.

Ribut barat di perairan Melaka barat awal pagi semalam menjadikan nasib 38 unit chalet seorang pengusaha Bumiputera ibarat telur di hujung tanduk berikutan jarak bangunan dengan tebing yang sudah terlalu hampir.

Angin kencang dari arah barat itu menyebabkan lima pondok wakaf yang digunakan tetamu untuk beristirahat dan membakar ikan musnah satu demi satu sejak sebulan lalu dan kini semakin mengancam bangunan chalet milik Yusof Yaakob, 63.

Ribut pada jam 3 pagi semalam menyebabkan pondok wakaf kelima menyembam bumi selepas tembok penahan ombak di gigi pantai musnah akibat hakisan pantai yang sudah berlanjutan sejak sebulan lalu.

Yusof berkata, beliau dan anggota keluarganya tidak dapat tidur lena kerana bimbang memikirkan keadaan pondok wakaf berkenaan dimusnahkan ombak kuat.

“Sejak petang semalam pondok kelima itu sudah senget dan saya menjangka ia akan runtuh tidak lama lagi dan kedatangan ribut barat awal pagi tadi merealisasikannya.

“Saya hanya menyedari pondok itu sudah roboh apabila meninjau keadaan di sekitar chalet kira-kra jam 7 pagi semalam dan kehilangannya memang sudah dijangka berikutan hakisan pantai yang semakin serius,” katanya ketika ditemui di pantai Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak dekat sini semalam.

Kemusnahan lima pondok berkenaan menyebabkan Yusof menanggung kerugian kira-kira RM25,000 dan kini berhadapan pula dengan ancaman hakisan terhadap bangunan chalet yang diusahakannya sejak 10 tahun lalu.

Beliau menjelaskan, lebih banyak kerosakan dijangka berlaku berikutan hakisan pantai yang semakin serius, selain ribut barat yang agak kerap.

Yusof mendakwa, sebanyak 35 unit chaletnya dalam empat blok bangunan bakal tenggelam jika tiada usaha kerajaan untuk menjalankan kerja pembaikan pantai.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Zulfazlie Mukhlas berkata, jabatan itu berharap kerajaan negeri mampu segera menyediakan peruntukan RM400,000 melaksanakan kerja pembaikan pantai yang terhakis teruk di kampung itu.

Ia bakal digunakan untuk membina tembok penahan ombak sepanjang kira-kira 100 meter di kawasan yang terjejas teruk dan mengancam chalet serta keselamatan penghuninya.

Beliau berkata, permohonan itu dikemukakan selepas jurutera jabatan berkenaan menjalankan kajian dan mencadangkan kaedah bagi mengatasi masalah hakisan pantai yang berpunca daripada ombak besar sejak awal bulan ini.

Views:

307
Kongsi :
Previous post Banjir Muar semakin pulih
Next post Mohamed Azmin tiba untuk lawatan kerja sehari di Melaka
Ubah saiz-+=