Peniaga berdepan 26 pertuduhan tipu pembelian lampin pakai buang

Masa Membaca:57 Saat

AYER KEROH 1 April – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menipu dalam urusan pembelian lampin pakai buang membabitkan kerugian RM838,474 enam tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Azizie Wahab, 38 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua 26 pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, Mohd Azizie dipercayai memperdayakan Suriana Hussain, 37 dalam urusan pembelian lampin pakai buang sehingga mendorong wanita tersebut memasukkan wang berjumlah RM838,474 ke akaun yang menggunakan nama dua syarikat tertuduh.

Perbuatan itu dilakukan di depan sebuah Bank di Ayer Keroh antara 19 Mei hingga 11 Jun 2016.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun, sebat dan denda.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan jaminan adalah RM260,000.

Peguam Nur Fazrin Ahmad yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jumlah itu dikurangkan kepada RM1,000 bagi setiap pertuduhan.

Selepas mendengar rayuan, Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM78,000 dan menetapkan 19 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

864
Kongsi :
Previous post Operasi pemantauan SOP COVID-19 akan terus dijalankan – Polis
Next post Polis Kesan sindiket pemerdagangan orang libatkan rakyat Malaysia di luar negara
Ubah saiz-+=