Peniaga Jonker Walk rayu segerakan projek naik taraf

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

BANDA HILIR 22 Sept – Peniaga Jonker Walk merayu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mempercepatkan projek menaik taraf sepanjang laluan pejalan kaki di Jalan Hang Jebat sejauh 570 meter.

Peniaga di kawasan itu bimbang kelewatan menyiapkan projek berkenaan sekali gus menyebabkan kawasan itu kurang mendapat tumpuan pelancong yang akan bercuti di Melaka setelah rentas negeri dibenarkan tidak lama lagi.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di Jonker Walk mendapati kerja-kerja menaik taraf dan memasang jubin di beberapa kawasan laluan pejalan kaki bermula pintu gerbang sehingga ke bangunan H&M giat dijalankan oleh kontraktor MBMB.

Kelihatan sekitar Jonker Walk juga semakin dikunjungi oleh pelancong tempatan dan deretan kenderaan turut memenuhi kawasan itu berbanding keadaan sebelumnya yang agak lengang.

PEKERJA kontraktor MBMB memasang jubin pada laluan pejalan kaki di sebahagian laluan Jalan Hang Jebat yang bermula sejak dua minggu lalu.

Peniaga kedai makan, Grace Chia, 38, berkata, dia bimbang kelewatan projek menaik taraf kawasan Jonker Walk akan menjejaskan pelancong ke kawasan itu.

“Saya dapati kerja-kerja naik taraf laluan pejalan kaki di Jonker Walk sudah dilakukan agak lama tetapi sehingga sekarang masih belum selesai.

“Disebabkan itu, ada peniaga yang tidak selesa dan menutup operasi mereka buat sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja tersebut, ada juga yang tutup kedai sebab tiada kunjungan orang ramai disebabkan pandemik COVID-19,” katanya ketika ditemui MHI.

Selain itu menurut Grace, peniaga berharap projek menaik taraf sekitar kawasan Jonker Walk dapat berjalan lancar dan siap sebelum Melaka dibanjiri pelancong nanti.

“Saya yakin bila projek naik taraf Jonker Walk siap sepenuhnya, kawasan ini akan lebih indah dan dapat menarik lebih ramai kunjungan pelancong luar,” katanya.

AHLI Majlis MBMB, Roger Tan Wei Jian

Sementara itu Ahli Majlis MBMB, Roger Tan Wei Jian berkata, projek menaik taraf kawasan pelancongan Jonker Walk sudah bermula kira-kira dua minggu lalu dan dijangka siap selewat-lewatnya pertengahan Oktober.

Menurutnya, ia meliputi kerja-kerja pemasangan jubin ‘tactile’ bagi kegunaan orang kurang berupaya cacat penglihatan.

“Ia termasuk pembinaan ‘ramp’ tanpa halangan bagi kegunaan golongan kurang berupaya selain mengantikan jubin ‘terracotta’ yang telah rosak.

“Kerja pemasangan jubin ‘tactile’ sepanjang laluan Jonker Walk sepanjang lebih kurang 570 meter dan dijangka siap pada pertengahan Oktober,” katanya.

Kata beliau, selain menaik taraf kawasan Jonker Walk, MBMB juga menjalankan kerja-kerja pengindahan kemudahan awam di sekitar tapak pelancongan di pusat bandar seperti sekitar Menara Jam Besar dan kawasan Bastion Middleburg.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1099
Kongsi :
Previous post Bekas ASP direman kes terima rasuah bulanan
Next post Alasan sakit kaki, rupanya dah buang bayi
Ubah saiz-+=