Peniaga kecil mengeluh harga minyak masak naik melambung

Masa Membaca:2 Minit, 37 Saat

ALOR GAJAH 7 Jun – Sudahlah tersepit pelanggan semakin berkurangan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, kini peniaga terpaksa pula berdepan kenaikan harga barang asas seperti minyak masak botol di pasaran.

Hal itu diakui peniaga pisang goreng, Leli Suhariani Ponirin, 48, yang menggunakan minyak masak sebagai bahan utama menjalankan perniagaan kecil-kecilannya.

Peniaga gerai di Pengkalan Balak itu berkata, kenaikan harga minyak masak lima kilogram (kg)yang mencecah harga RM30 hingga RM33 sebotol berbanding RM25 hingga RM28 sebelum ini nyata merungsingkan dan dikhuatiri boleh memberi kesan kepada perniagaannya.

 

RISAU…Leli meluahkan perasaan risaunya berhubung kenaikan harga minyak masak yang dijangka akan memberi kesan kepada jualan minyak peket akan menjejaskan perniagaan pisang gorengnya.

 

Biarpun sebelum ini lebih banyak menggunakan minyak masak paket sekilogram, namun katanya, kenaikan harga itu dikhuatiri akan membuatkan ada peniaga kedai runcit dan pasar raya mencatut atau menyorok bekalan demi menghabiskan bekalan minyak masak botol.

“Saya khuatir selepas ini bekalan minyak paket pula akan berkurangan menyebabkan kami terpaksa membeli minyak masak botol yang harganya sedang melambung tinggi di pasaran.

“Perkara ini bukan sekali berlaku, tetapi ia seperti isu tahunan, jika harga minyak botol naik, maka minyak paket pula akan berkurangan.

“Jadi, bagaimana untuk kami teruskan perniagaan? Untung setiap hari pun tidaklah banyak mana dan kini terpaksa pula berdepan isu kenaikan harga bekalan asas,” katanya.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di beberapa pasar raya utama di sekitar Alor Gajah dan Masjid Tanah mendapati hampir kesemua premis menjual minyak masak lima kilogram dengan harga berbeza antara RM29 hingga RM33 sebotol.

Namun, di Malakat Mall, Masjid Tanah, MHI mendapati pasar raya berkenaan menjual minyak masak lima kilogram pada harga yang munasabah iaitu RM22 sehingga RM28 sebotol.

Pengurus Unit Jualan Malakat Grocer, Roslee Zamri ketika dihubungi berkata, meskipun berdepan ketidaktentuan harga minyak masak di pasaran, namun pihaknya masih mampu menjualnya dengan harga rendah, selain tidak mencatut sebarang bekalan minyak walaupun keuntungan yang diterima tidak besar mana.

“Setakat ini tiada rungutan dan aduan pembeli yang kami terima berikutan harga minyak masak botol lima kilogram kekal pada harga bawah RM30 biarpun kadangkala hanya mengambil keuntungan sekitar 50 sen bagi sebotol minyak dijual.

“Malah kita beri jaminan tiada isu catuan atau ‘sorok minyak’ dilakukan kerana stok jualan masih mencukupi untuk dijual buat orang ramai termasuklah minyak paket bersubsidi.

“Dalam tempoh PKP penuh, peniaga perlu mengamalkan sikap bertanggungjawab kepada pembeli demi menggalakkan ekosistem perniagaan berkonsepkan ‘pindah niaga’ tanpa menaikkan keuntungan yang tinggi, kerana kita tahu ramai terkesan dalam tempoh ini,” katanya.

Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar. gambar fail.

Dalam pada itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, setakat hari ini pihaknya belum menerima aduan berhubung kenaikan harga minyak masak botol di negeri ini.

Katanya, KPDNHEP Melaka bagaimanapun akan terus melakukan pemantauan setiap hari dan sekiranya didapati ada peniaga melakukan kesalahan berkaitan pencatutan dan sebagainya, tindakan tegas akan diambil.

“Kita harap pengguna membuat aduan sekiranya berdepan situasi kenaikan harga minyak masak di pasaran agar penguatkuasaan secara terus dapat dijalankan KPDNHEP Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1242
Kongsi :
Previous post Isi segera kekosongan jawatan naib canselor di lima universiti- CUEPACS
Next post Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga legenda sepak takraw negara
Ubah saiz-+=