Peniaga lelong barang di hari terakhir bazar Aidilfitri

Masa Membaca:3 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 12 Mei. – Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) yang menyaksikan semua bazar Ramadan dan Aidilfitri di negeri ini ditutup sehari lebih awal, peniaga mengambil kesempatan menjual barangan dengan harga runtuh.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di Bazar Ramadan Dataran MITC mendapati ada peniaga menawarkan potongan harga antara 50 ke 80 peratus untuk menghabiskan stok barangan mereka sebelum menutup gerai jualan tepat jam 12 tengah malam tadi.

ROSLI membuat tawaran harga RM10 bagi kasut dan sandal wanita di gerainya.

Seorang peniaga, Rosli Mohd Said, 46 berkata, untuk hari terakhir bazar, pihaknya melakukan jualan mengejut dengan menjual sandal dan kasut wanita pada harga RM10 sahaja, berbanding harga sebenar sekitar RM40 hingga RM50 pada hari biasa.

Katanya, langkah itu dibuat sebagai tanda penghargaan kepada pengunjung yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepadanya sejak 15 tahun berniaga di bazar, selain bersifat amal jariah untuk mereka yang kurang berkemampuan.

“Walaupun untung sedikit, itu semua ‘belakang cerita’ kerana bagi saya apa yang dilakukan ini untuk menggembirakan pengunjung selain untuk berkongsi rezeki kepada semua.

“Alhamdulillah, untuk hari ini sahaja, sambutan yang diterima sangat menggalakkan apabila 1,000 pasang kasut dan sandal yang kami lelong berjaya dihabiskan dalam tempoh beberapa jam sahaja,” katanya.

ZAINI.

Seorang pengunjung, Zaini Mohamad dari Kampung Rim, Jasin mengakui terkejut dengan tawaran harga ‘gila-gila’ oleh peniaga di bazar berkenaan pada hari terakhir penganjurannya.

Katanya, walaupun pada awal niatnya dan keluarga ke bazar berkenaan sekadar untuk berjalan dan mencuci mata sebelum sekatan rentas daerah dikuatkuasakan, namun dia akhirnya mengambil peluang membeli beberapa barangan sebagai persiapan terakhir raya.

“Boleh dikatakan persiapan saat-saat akhir jugalah. Sebelum ini, kami sudah beli kelengkapan raya lebih awal, tapi malam ini mungkin untuk tambah-tambah lagi sedikit barangan mana yang tak ada.

“Memang rambang mata juga melihat tawaran harga pada malam ini. Mungkin rezeki kami kebetulan untuk ke sini malam ini,” ujarnya.

SITI Narobi.

Bagi Siti Narobi Awang, 61, yang berasal dari Durian Tunggal pula, dia mengambil kesempatan membeli sedikit barangan pada saat akhir untuk dikirim kepada anaknya yang bekerja di tengah lautan.

“Dua anak saya bekerja di atas kapal dan mengenangkan mereka tidak dapat beraya, saya dan suami pun ambil kesempatan membelikan barangan seperti kuih-muih kepada mereka.

“Walaupun sedih tak dapat beraya bersama, namun mengenangkan situasi sekarang, kami terpaksa akur dan sambut raya secara ala kadar sahaja,” katanya.

Sementara itu, penganjur Bazar Aidilfitri Dataran MITC, Jaafar Daud mengambil kesempatan merakamkan penghargaan di atas kerjasama yang baik diberikan oleh lebih 270 peniaga di bazar berkenaan sejak ia mula dibuka pada awal Ramadan lalu.

PENGANJUR bazar, Jaafar Daud bersama pasukannya ketika ditemu bual MHI.

Katanya, meskipun berdepan pelbagai cabaran pada awal penganjuran bazar dalam suasana norma baharu, namun pada akhirnya, semua berjalan lancar dan peniaga juga gembira dan memberikan maklum balas yang cukup baik.

“Saya amat terharu kerana peniaga faham situasi dan akhirnya mereka gembira dan bersyukur dapat berniaga selepas tahun lalu penganjuran bazar tidak dibenarkan.

“Walaupun bazar terpaksa ditutup sehari lebih awal, rata-rata mereka tidak merungut dan reda dengan arahan berkenaan kerana semua faham tiada siapa yang meminta situasi ini (peningkatan kes COVID-19 berlaku.

“Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada pengunjung di bazar ini yang sentiasa mematuhi SOP dan memberikan kerjasama yang cukup baik sejak ia dibuka.
“Insya-Allah, jika diberi peluang, kami akan menganjurkan lagi bazar seperti ini dalam usaha membantu peniaga bumiputera di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

661
Kongsi :
Previous post Aidilfitri: Lawatan khas keluarga penghuni penjara dibatalkan
Next post Misi repartriasi bawa pulang rakyat Malaysia dari New Delhi dan Mumbai selamat tiba di KLIA
Ubah saiz-+=