Misi repartriasi bawa pulang rakyat Malaysia dari New Delhi dan Mumbai selamat tiba di KLIA

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR 12 Mei. – Misi repatriasi membawa pulang rakyat Malaysia dari New Delhi dan Mumbai, India selamat tiba di Unit Kecemasan Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 1 pagi tadi.

Menurut kenyataan Wisma Putra, misi itu yang menggunakan pesawat sewaan khas Malindo Air membawa pulang sejumlah 132 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 117 orang adalah rakyat Malaysia dan enam (6) orang tanggungan serta seorang (1) pemegang status penduduk tetap Malaysia serta lapan warga Brunei.

Mengambil kira hubungan erat dan istimewa yang sedia terjalin antara Malaysia dengan Brunei, kerajaan Malaysia turut membantu bawa pulang warga Brunei dalam misi itu, kata kenyataan itu.

Kesemua penumpang, kru dan pegawai-pegawai barisan hadapan yang terlibat dalam menjayakan misi itu adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kejayaan misi ini adalah hasil kerjasama erat melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), KKM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai serta agensi-agensi lain yang berkaitan, menurut kenyataan itu lagi.

Kementerian Luar Negeri merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan misi ini dan kementerian akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

765
Kongsi :
Previous post Peniaga lelong barang di hari terakhir bazar Aidilfitri
Next post Koleksi pokok ara terbanyak di Lahad Datu
Ubah saiz-+=