Aidilfitri: Lawatan khas keluarga penghuni penjara dibatalkan

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

KUALA LUMPUR 12 Mei. – Lawatan khas keluarga penghuni sempena Hari Raya Aidilfitri di semua institusi penjara dibatalkan, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara berkuat kuasa hari ini hingga 7 Jun depan.

Berikutan itu Jabatan Penjara dalam kenyataan semalam memaklumkan, pihaknya akan menyediakan kemudahan sidang video melalui e-mel jabatan (Icewarp) bermula 15 Mei (Sabtu) hingga 7 Jun.

“Tempoh ini lebih lama daripada tempoh perjumpaan yang dijadualkan sebelum ini (iaitu lima hari). Lawatan perjumpaan melalui kaedah tersebut (Icewarp), hanya dibenarkan kepada keluarga penghuni yang membuat tempahan melalui penjara berkaitan sahaja.

“Tempahan boleh dibuat bermula hari ini (semalam) melalui dua kaedah iaitu, panggilan telefon di institusi berkenaan dan emel, atau menghantar surat ke institusi berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Seterusnya, pihak penjara akan menetapkan tarikh perjumpaan dengan tempoh masa perjumpaan maksimum selama 15 minit, bergantung kepada situasi semasa penjara berkenaan.

“Bagi memberi peluang kepada semua keluarga penghuni, perjumpaan untuk setiap penghuni hanya dibenarkan sekali sahaja. Penghuni juga dibenarkan menggunakan kemudahan telefon prabayar yang disediakan untuk menghubungi keluarga sekiranya perlu,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Penjara meminta keluarga penghuni supaya mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu menerusi laman sesawang, www.prison.gov.my.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

579
Kongsi :
Previous post Bayi sembilan bulan maut diliwat suami pengasuh
Next post Peniaga lelong barang di hari terakhir bazar Aidilfitri
Ubah saiz-+=