
PENTARAMA X: HIBURAN BERMAKLUMAT DIDIK PELAJAR HAYATI NILAI PATRIOTISME
AYER KEROH 10 September – Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Melaka komited memperkasakan semangat patriotik dalam kalangan pelajar menerusi penganjuran Program Pentarama X Kelab Malaysiaku dianjurkan di empat sekolah menengah di negeri ini.
Pengarah JaPen Negeri Melaka, Ab Rasil Hajatil berkata, program itu menggunakan pendekatan hiburan bermaklumat bagi menarik minat pelajar, sekali gus memastikan mesej mengenai semangat cintakan negara sampai kepada golongan sasar itu.
“Alhamdulillah, program ini adalah yang kedua kita anjurkan di Melaka selepas jelajah program ini dimulakan di Putrajaya.
“Sebanyak empat sekolah terlibat di Melaka dan objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan nilai-nilai patriotisme dalam kalangan masyarakat, khususnya pelajar sekolah,” katanya pada sidang media selepas program berkenaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.
Ab Rasil berkata, empat sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Perempuan Melaka yang menjadi lokasi pertama, diikuti SMK Munshi Abdullah, SMK Tun Mutahir dan SMK Tun Teja sebagai penutup siri program di Melaka.

Menurut beliau, antara pengisian program termasuk persembahan pentarama, iaitu hiburan yang digabungkan dengan penyampaian maklumat berkaitan dasar kerajaan serta mesej perpaduan.
“Sepanjang Bulan Kebangsaan ini, kita menaikkan semangat patriotisme melalui pelbagai pengisian seperti lagu-lagu patriotik dan interaktif bersama pelajar.
“Kita juga menyeru setiap keluarga di negeri ini untuk membudayaan satu rumah, satu Jalur Gemilang bagi menunjukkan rasa cinta terhadap negara,” katanya.
Menurutnya, selepas selesai jelajah di Melaka yang dijadualkan berakhir hujung bulan ini, Program Pentarama X akan diteruskan ke Johor sebagai destinasi seterusnya.
“Program ini diharap dapat memberi kesan positif dalam memupuk rasa cintakan negara dalam kalangan generasi muda, selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan kesedaran patriotisme di semua peringkat masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.