Sorting by

×

Penternak ikan rugi ikan terlepas akibat banjir

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

TABOH NANING 22 Sept. – Seramai kira-kira 20 pemilik kolam ikan kerugian berpuluh ribu ringgit selepas beribu-ribu ikan tilapia dan jelawat dalam sekurang-kurangnya 60 kolam terlepas akibat banjir di Kampung Sungai Buloh, di sini malam tadi.

Hujan lebat di hulu sungai di Tampin, Negeri Sembilan sejak jam 5.30 petang semalam mengakibatkan sungai berhampiran kolam melimpah masuk ke dalam kolam sebelum membawa ikan keluar dari kolam.

Kejadian itu menyebabkan pemilik kolam yang keseluruhannya anak jati kampung berkenaan mengalami kerugian berpuluh-puluh ribu ringgit.

Muhammad Ramli Abdul Hamid, 69 berkata, beliau terkejut apabila mendapati dua kolam ikan tilapia dan jelawat di hadapan rumahnya dipenuhi air dari sungai yang melimpah.

“Saya balik dari masjid jam 9 malam tetapi tidak dapat ke rumah kerana jalan di tengah antara dua kolam dinaiki air dan saya terpaksa menunggu hingga air surut pada jam 10.30 malam.

“Saya hanya dapat memerhatikan kira-kira 3,000 ikan tilapia merah dan jelawat dalam kolam pertama dan 2,000 ekor lagi dalam kolam kedua dihanyutkan arus sungai yang deras,” katanya ketika ditemui di kolam ikannya di kampung itu hari ini.

Hairuddin Bakar, 47, berkata beliau tidak mampu berbuat apa-apa apabila kolam yang dipenuhi 3,000 ikan tilapia merah dan jelawat dimasuki air yang melimpah dari sungai yang hanya kira-kira satu meter dari kolam.

“Hujan lebat mulai jam 5.30 petang menyebabkan kolam ikan saya dimasuki air sungai dan kira-kira jam 8 malam, air sudah penuh dan ikan terlepas keluar,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkannya mengalami kerugian beribu-ribu ringgit berdasarkan harga ikan tilapia merah yang dijualnya pada harga RM9 sekilogram dan jelawat RM10.

Kejadian itu adalah yang pertama kali dialami beliau dan pemilik kolam yang lain berbanding hujan lebat tetapi tidak menyebabkan kolam melimpah sebelum ini, katanya.

Views:

446
Kongsi :
Previous post Martabatkan guru sekolah agama di Melaka
Next post Al-Sultan Abdullah sedang jalani rawatan di IJN – Istana Negara
Ubah saiz-+=