Penyelia tapak pembinaan didakwa culik, bunuh teman wanita

KAJANG, 11 Okt – Seorang penyelia tapak pembinaan didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik dan membunuh teman wanitanya yang mayatnya ditemukan di dalam gaung di Bukit Tekali, Hulu Langat.

Lai Jai Loon, 27, mengangguk faham sebaik kedua-kedua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli dan Syahrul Sazly Md Sain.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana dua kes tersebut adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lelaki itu didakwa telah menahan Ho Mei Ling, 27, dengan melarikannya secara salah bagi mendapatkan wang tebusan RM40,000 di hadapan sebuah rumah di Jalan Kenari 1, Taman Kenari, Lenggeng, Negeri Sembilan pada 3.50 petang, 25 Sept lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Lai juga didakwa membunuh wanita itu di tepi jalan Bukit Tekali, Batu 14 Hulu Langat, antara 25 Sept lepas pada 3.50 petang hingga 27 Sept, 3 petang, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Afiqah Abdul Ghaffar dan Nurul Husna Amran.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 17 Nov ini untuk sebutan semula kes.

Pada 30 Sept lepas, media melaporkan mayat wanita itu yang ditemukan dalam gaung di Bukit Tekali merupakan mangsa kes culik.

Pihak polis menerima laporan daripada sepupu mangsa sehari selepas wanita itu dilarikan di kawasan rumahnya di Broga selain mendakwa turut menerima WhatsApp meminta sejumlah wang tebusan.

Siasatan mendapati mangsa dan lelaki itu dipercayai pasangan kekasih yang berkenalan melalui laman sosial sejak awal tahun ini dan motif pembunuhan disyaki ada kaitan dengan hutang.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

388
Previous post Hospital Cyberjaya dioperasikan sepenuhnya sebagai hospital awam
Next post Pelbagai mekanisme tarik pengunjung ke Jelajah AKM Melaka 2022