Hospital Cyberjaya dioperasikan sepenuhnya sebagai hospital awam

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

PUTRAJAYA, 11 Okt – Hospital Cyberjaya akan dioperasikan sepenuhnya sebagai hospital awam di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), dengan sebuah klinik kesihatan baharu turut dibuka di hospital itu bagi menampung keperluan perkhidmatan kesihatan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan hari ini berkata pengoperasian Hospital Cyberjaya sebagai Hospital Pakar Major dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lepas, dan akan dilaksanakan secara berfasa bermula 11 Nov depan, dengan menawarkan 14 bidang kepakaran serta perkhidmatan kesihatan.

Antara bidang kepakaran dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah perkhidmatan kecemasan; perubatan am, pembedahan am, Obstetrik & Ginekologi (O&G), pediatrik, ortopedik, psikiatri dan kesihatan mental dan pergigian.

Di peringkat awal fasa pengoperasian, Khairy berkata hospital itu akan melaksanakan enam perkhidmatan kepakaran iaitu Jabatan Kecemasan, Jabatan Perubatan, Jabatan Pembedahan dan Jabatan Anesthesiologi, Jabatan Pediatrik dan Jabatan Obstetrik & Ginekologi.

Terdahulu, Jemaah Menteri pada 5 Mei 2021 bersetuju secara prinsip dengan hala tuju pengoperasian Hospital Cyberjaya dilaksanakan melalui model kerjasama awam-swasta berkonsepkan pajakan dengan terma dan syarat serta perbincangan terperinci diterajui oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Khairy berkata beliau menyedari keperluan mendesak untuk sebuah klinik kesihatan baharu di daerah Sepang bagi mengurangkan kesesakan yang dihadapi di Klinik Kesihatan Dengkil.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan sebahagian daripada bangunan di dalam kawasan Hospital Cyberjaya akan dibuka dan beroperasi sebagai Klinik Kesihatan Cyberjaya bagi rawatan pesakit luar bermula 1 Nov ini.

“Pengoperasian Hospital Cyberjaya sebagai sebuah hospital awam dan pembukaan Klinik Kesihatan Cyberjaya akan memberikan akses perkhidmatan kesihatan kerajaan yang berkualiti dan menyeluruh kepada penduduk sekitar.

“Langkah ini sekali gus akan mengurangkan masa menunggu dan kesesakan di fasiliti kesihatan berhampiran iaitu Hospital Serdang, Hospital Kajang dan Hospital Putrajaya,” katanya.

Hospital Cyberjaya yang mula dibina pada 15 Ogos 2017 di atas tapak berkeluasan 5.2 hektar dengan ketinggian sembilan tingkat telah diserahkan kepada KKM pada 15 Jun 2021.

Hospital itu antara lain akan dilengkapi dengan 288 katil, blok kecemasan dan juga kemudahan 1,006 parkir termasuk 790 di parkir bertingkat.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3485
Kongsi :
Previous post Peguam Najib diberi amaran tiada lagi penangguhan soal saksi dalam bicara 1MDB
Next post Penyelia tapak pembinaan didakwa culik, bunuh teman wanita
Ubah saiz-+=