Penyelidik UTeM bangunkan sistem fertigasi IoT

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 20 Sept. – Sistem Fertigasi internet pelbagai benda (IoT) telah berjaya dibangunkan sekumpulan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sekali gus boleh meningkatkan keberkesanan sistem pembajaan dan hasil tanaman sektor agromakanan negara.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar berkata, sistem dibangunkan berkenaan dapat membantu golongan petani memantau data asas pertanian dan mengawal proses pembajaan secara dalam talian melalui komputer atau telefon pintar.

Jelasnya, sistem fertigasi itu akan memberikan impak besar buat sektor pertanian negara berikutan ia mampu menjimatkan masa bagi pengurusan dan pengendalian kebun atau ladang.

“Kejayaan UTeM membangunkan sistem ini sama seperti membawa teknologi moden ke dalam sektor agromakanan negara serta bertindak sebagai pemangkin kebolehcapaian Dasar Agromakanan Negara 2.0,” katanya dalam kenyataan yang diberikan baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Sistem IoT tersebut, Dr. Fakrulradzi Idris berkata, kerja penyelidikan projek bermula sejak akhir 2019 sehingga kini dan ia merangkumi tiga fasa pengujian bagi menentukan kemampanan Sistem Fertigasi IoT itu.

“Pengujian fasa satu bermula dari Disember 2020 hingga Mei 2021 di Tapak Satelit Bumi FKEKK dengan penanaman terung mini berjumlah 120 beg poli.

“Pengujian fasa dua pula melibatkan keberkesan sistem untuk komuniti luar dan projek ini bermula dari Jun 2021 sehingga Disember 2021 di Kebun Komuniti Taman Tasik Utama (TTU), Ayer Keroh milik TTU Agro Farm melibatkan penanaman 500 beg poli cili centil dan cili kulai.

“Sementara itu, pengujian fasa tiga bermula dari Ogos 2021 sehingga Januari 2022 di Tapak Satelit Bumi FKEKK dengan penanaman rock melon dan timun kecil berjumlah 90 beg poli,” katanya.

Ghazali berkata, menerusi pengujian bagi fasa satu dan dua hasil tuaian lebih daripada kadar biasa malah telah menjimatkan penggunaan baja sebanyak 30 peratus dari penanaman yang berjaya disingkatkan.

“Projek ini dibiayai oleh UTeM menerusi Geran Penyelidikan Jangka Pendek (PJP) program 2020 dan mengambil masa pembangunan 15 bulan.

“Penyelidikan ini jelas menzahirkan UTeM bukan hanya menzahirkan semarak penyelidikan yang berteraskan teknologi semasa selari Revolusi Industri 4.0, malah ia memberikan impak langsung kepada komuniti dan industri.

“Teknologi ini setanding dengan teknologi dunia sekali gus melonjakkan nama Malaysia menjadi negara yang mencipta teknologi dan bukan lagi bersandarkan kepada senario pengguna teknologi semata-mata,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2199
Kongsi :
Previous post Kos dedak tak naik, tapi kenapa harga ayam melambung? – Peniaga
Next post ‘Aku sudah sah Islam’ – Pesakit COVID
Ubah saiz-+=