Kos dedak tak naik, tapi kenapa harga ayam melambung? – Peniaga

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

MERLIMAU 20 Sept – Harga dedak ayam di negeri ini kekal tanpa kenaikan sejak tiga tahun lalu sekaligus menimbulkan persoalan apakah punca sebenar harga ayam melambung tinggi ketika ini atau didorong sikap tamak pembekal?

Malah dakwaan ketiadaan pekerja asing di kilang ayam yang kononnya menyebabkan kos operasi tinggi kerana pengusaha terpaksa menggajikan pekerja tempatan yang lebih mahal juga didakwa tidak berasas.

Mendedahkan perkara itu kepada Melaka Hari Ini (MHI), peniaga ayam di Durian Tunggal, Borhan Maaras, 63, berkata, dua perkara itu dilihat sering dijadikan alasan kenaikan harga ayam yang disifatkannya tidak munasabah.

“Harga dedak RM130 untuk 45 kilogram yang saya beli dari kilang di Serkam, Jasin masih sama sejak tiga tahun lalu untuk diberikan kepada ayam hidup yang dibeli daripada pembekal.

“Jika harga dedak masih sama, kenapa pembekal menaikkan harga ayam hidup daripada RM5 sekilogram (kg) pada Ogos lalu menjadi RM6.50 per kg sejak hampir sebulan dan terus meningkat?

“Bila harga beli ayam pun meningkat, saya tiada pilihan terpaksa menjual ayam siap proses pada harga RM9.50 per kg berbanding RM8 hingga RM8.70 awal Ogos lalu,” katanya.

Sementara itu, tinjauan MHI di kilang pembekal ayam juga mendapati masih terdapat kumpulan pekerja asing dipercayai warga Nepal, Bangladesh dan Mnyamar bekerja di kawasan kilang terbabit.

TINJAUAN harga ayam di sebuah pasar raya dekat Peringgit yang menjual ayam pada harga lebih murah iaitu RM5.99 sekilogram

Hal ini sekaligus menafikan dakwaan kononnya pengusaha terpaksa menggajikan pekerja tempatan kerana kekurangan tenaga kerja asing akibat pandemik COVID-19 yang menyebabkan berlaku kenaikan kos operasi.

MHI kemudian turut membuat semakan senarai di laman web Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan mendapati wujud lebih 30 ladang ayam di negeri Melaka yang mana dipercayai dimonopoli sebuah syarikat kilang pembekal.

Semakan juga mendapati, kilang sama mempunyai rangkaian ladang ayam yang terbesar di Melaka selain beberapa buah kilang memproses dedak di bawah operasi syarikat berkenaan.

Keadaan tersebut sekaligus menimbulkan persoalan dari mana datangnya alasan kenaikan harga ayam seperti didakwa jika dedak dihasilkan sendiri oleh kilang yang sama tidak berlaku kenaikan?

Persoalan sama ada mungkin wujud usaha untuk menguasai pasaran seterusnya mengawal harga ayam di Melaka itu juga diakui Exco Hal Ehwal Pengguna Datuk Wira Ar Ismail Othman dalam laporan khas seterusnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1014
Kongsi :
Previous post Penolong pegawai perubatan dipenjara dua bulan, denda RM17,500 kerana terima suapan
Next post Penyelidik UTeM bangunkan sistem fertigasi IoT
Ubah saiz-+=