Penolong pegawai perubatan dipenjara dua bulan, denda RM17,500 kerana terima suapan

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 20 Sept. – Seorang penolong pegawai perubatan dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM17,500 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas kesalahan mendapatkan suapan berkaitan perbekalan peralatan perubatan bernilai RM3,500, melalui syarikat adik perempuannya tiga tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zamry Yazid,46, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas satu daripada 14 pertuduhan berkenaan hari ini.

Mengikut pertuduhan, Mohd Zamry didakwa menggunakan kedudukan dan jawatan sebagai penolong pegawai perubatan di Pejabat Daerah Kesihatan (PKD) Jasin untuk mendapatkan suapan dengan terbabit dalam permohonan pembekalan, penyediaan sebutharga dan memperakukan tuntutan bayaran kepada Syarikat Pella Maju Enterprise bagi pembelian barang perubatan iaitu kertas ultrabunyi bernilai RM3,500.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin pada 18 Oktober 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwanshah Abdul Samat memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Bagaimanapun, Peguam Mohd Zulfiqri Zakaria memohon agar hukuman anak guamnya diringankan dengan alasan tertuduh menjaga ibunya yang lumpuh.

“…adik perempuan tertuduh seorang orang kelainan upaya (OKU) terencat akal yang memakai lampin pakai buang.

“Tertuduh yang berkhidmat selama 23 tahun telah memenangi anugerah cemerlang sebanyak dua kali, selain telah insaf dengan perbuatannya,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM17,500 atau tambahan enam bulan penjara jika gagal bayar bagi kesalahan itu, manakala 13 lagi pertuduhan dipertimbangkan berdasarkan Seksyen 171 Kanun Prosedur Jenayah.

Tertuduh pada 24 Mac lalu tidak didakwa dan tidak mengaku bersalah atas 14 pertuduhan menggunakan kedudukan untuk menerima suapan berjumlah RM27,901.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

696
Kongsi :
Previous post Fasa peralihan monsun dijangka mula Jumaat ini- MetMalaysia
Next post Kos dedak tak naik, tapi kenapa harga ayam melambung? – Peniaga
Ubah saiz-+=