
PENYU ILHAM HASILKAN CENDERAHATI
TANJUNG BIDARA 17 September – Perasaan sayang dan komitmen mahu menjaga populasi penyu, menjadi pencetus idea dalam kalangan penduduk sekitar Pantai Padang Kemunting untuk menghasilkan cenderahati bentuk penyu menggunakan bahan kitar semula khususnya botol plastik.
Umum mengetahui plastik hanyut antara ancaman kepada penyu dan dalam banyak kes reptilia itu mati akibat termakan bahan berkenaan kerana menyangka ia adalah obor-obor atau rumpai laut.
Apabila berlaku ia menyebabkan penyumbatan maut, luka, dan pengumpulan gas dalam saluran pencernaan.
Selain itu, penyu juga boleh terperangkap dalam sisa seperti jaring dan beg plastik, menyebabkan kecederaan, lemas, dan kematian.
Ahli Kelab Kampung Mesra Penyu, Azam Jamlus berkata, idea itu bermula selepas pihaknya mengumpul banyak botol plastik setiap kali menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) membersihkan pantai bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Selain dikitar semula, kami terfikir lebih baik menggunakan plastik yang mengancam penyu sebagai bahan utama menghasilkan cenderahati. Secara tidak langsung menggambarkan komitmen dan kesungguhan kami untuk bersama-sama menjaga populasi hidupan ini selain peranan dimainkan Pusat Konservasi & Penerangan Penyu (PKPP) Padang Kemunting.
“Hasil kajian sendiri kami berjaya hasilkan cenderahati bentuk penyu, alhamdulillah sudah ada yang berminat tetapi belum boleh laksanakan pengeluaran secara besar-besaran kerana masih kekurangan bahan mentah dan acuan.
“Setakat ini kami mendapat kerjasama daripada NGO yang turut membantu menyediakan dana membeli mesin ‘mini moulding’ untuk menghancur, mencairkan dan membentuk cenderahati,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Azam yang juga Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) berkata, pihaknya kini dalam usaha mengumpul dana untuk menambah acuan, namun dijangka mengambil mengambil masa berikutan harganya agak mahal.
“Insya-Allah apabila sudah ada acuan mencukupi kami akan mula laksanakan pengeluaran secara besar-besaran, sekurang-kurangnya pelancong yang datang membawa pulang cenderahati menggambarkan kampung kami sebagai pusat pembiakan penyu.
“Usaha ini melibatkan 30 penduduk yang mahu bersama-sama menjaga keindahan alam dan sayangkan penyu, biarlah ekosistem yang ada ini berkekalan dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.