Perbadanan Bioteknologi Melaka lancar produk antiseptik

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 5 Nov. – Sebagai usaha membendung penularan wabak COVID-19, Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM) telah mengambil inisiatif memperkenalkan produk ‘hand sanitizer’ dan cecair antiseptik (disinfectant solution).

Selain dua produk tersebut, PBM turut memperkenalkan produk pelitup muka dan sabun pencuci tangan yang dilihat sebagai barangan kerap digunapakai orang ramai dalam usaha membendung wabak pembunuh tersebut.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali telah menyempurnakan sendiri gimik pelancaran setiap produk tersebut di pejabatnya di Seri Negeri pada 2 November lepas.

Sulaiman menerusi kenyataan di Facebook rasminya menjelaskan, beliau percaya langkah PBM memperkenalkan setiap produk itu adalah tepat pada masanya dalam usaha membendung wabak COVID-19.

SULAIMAN ketika melihat produk antiseptik keluaran PBM.

“Saya percaya pengenalan produk oleh PBM yang berdaftar dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini adalah satu langkah tepat dan penting dalam tempoh kita membendung wabak COVID-19,” katanya.

Hadir sama dalam majlis gimik pelancaran itu Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Dr. Hasim Hasan dan Ketua Pegawai Eksekutif PBM, Tee Mei Ghee.

Sementara itu, PBM menjelaskan setiap produk tersebut adalah berdaftar dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Untuk cecair antiseptik, PBM memperkenalkan 2 varian iaitu yang berasaskan alkohol serta cecair antiseptik yang bebas alkohol manakala bagi cecair antiseptik yang bebas alkohol, kandungan bahan aktifnya ialah benzalkonium chloride, dan juga silver chloride.

“Kedua-dua bahan aktif ini adalah seperti saranan pihak Bahagian Regulatori Farmasi Negara (KKM), dan mempunyai ciri-ciri ‘antimicrobial’ dan mampu menghapuskan mikroorganisma berbahaya termasuk virus SARs-CoV-2.

“Bagi produk hand sanitizer pula mempunyai kandungan alkohol sebanyak 75 peratus, dan telah berdaftar dengan pihak KKM.

“Ia juga mengandungi minyak pati pudina sebagai haruman, dan juga aloe vera yang berfungsi untuk mengekalkan kelembapan apabila digunakan. Ujian makmal juga telah dijalankan serta terbukti secara saintifik berjaya membunuh kuman merbahaya sebanyak 99.9 peratus.

“Selain daripada hand sanitizer dan cecair antiseptik, pihak PBM juga memperkenalkan pelitup muka, mempunyai keupayaan menapis bakteria (Bacteria Filtration Efficiency) yang melebihi 98%.

“Pelitup muka ini melepasi standard ujian EN 14683:2019 yang khusus kepada keperluan spesifik untuk ‘medical face mask’ serta mempunyai CE (Conformitè Europëenne) Marking.

“Perlindungan ini didatangkan dalam jenis ‘ear loop’, dengan beberapa pilihan warna yang menarik dan boleh dipadankan dengan pakaian harian, iaitu biru lembut, merah jambu, hijau, ungu dan ‘turquoise’,” jelas kenyataan rasmi PBM.

Melalui pengenalan produk-produk antiseptik tersebut, PBM berharap orang awam akan lebih menyedari akan kepentingan penggunaannya dalam membendung wabak COVID-19.

Sebarang pertanyaan mengenai produk antiseptik, atau lain-lain perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak PBM, bolehlah menghubungi PBM di talian 06-2313622 atau email [email protected].

Views:

1064
Kongsi :
Previous post Bayi ditemui di dalam semak
Next post Jemaah luar negara kembali tunaikan ibadah umrah
Ubah saiz-+=