Bayi ditemui di dalam semak

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BUKIT KATIL 5 Nov. – Seorang bayi lelaki baru lahir yang masih bertali pusat ditemui dalam keadaan dihurung semut selain terdapat kesan darah ditinggalkan dalam kawasan semak di Jalan Sidang Hassan 1, di sini, petang semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri (Risikan/ Operasi) Superintendan Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian jam 3.05 petang sebelum sepasukan pegawai ke lokasi.

Beliau berkata, bayi itu ditemui seorang lelaki yang terdengar tangisan sebelum mencari arah bunyi didengarinya itu.

“Ketika kejadian saksi dikatakan sedang berehat di rumahnya sebelum terdengar tangisan bayi.

SEORANG bayi lelaki baru lahir yang masih bertali pusat ditemui dalam keadaan dihurung semut selain terdapat kesan darah ditinggalkan dalam kawasan semak di Jalan Sidang Hassan 1, di sini, petang semalam. Foto ihsan pembaca

“Dia yang keluar ke arah semak tidak jauh dari rumahnya kemudian menemui bayi terbabit dalam keadaan dihurung semut serta terdapat kesan darah,” katanya.

Menurut beliau, tiada sebarang pengenalan diri ditemui bersama bayi lelaki berkenaan sebelum dibawa ke Hospital Melaka dan ditempatkan di wad kanak- kanak.

“Bayi itu kini berada dalam keadaan stabil dan diberi bantuan pernafasan kerana mengalami masalah jangkitan serta pernafasan.

“Menurut doktor bayi itu baru lahir dan berat badannya 2.2 kilogram dan dipercayai lahir cukup bulan,” katanya.

Yusharifuddin berkata, usaha mengesan ibu kepada bayi itu giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Views:

685
Kongsi :
Previous post Kerajaan ambil pendekatan berbelanja secara berhemat – PM
Next post Perbadanan Bioteknologi Melaka lancar produk antiseptik
Ubah saiz-+=