Sorting by

×

Perdagangan Malaysia teruskan trajektori meningkat pada Feb 2022 – Azmin

Masa Membaca:2 Minit, 54 Saat

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Perdagangan Malaysia meneruskan trajektori meningkatnya pada Februari 2022, mencatatkan pertumbuhan dua digit bagi perdagangan, eksport, import dan lebihan perdagangan, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata perdagangan meningkat sebanyak 17.5 peratus kepada RM184.75 bilion berbanding Februari 2021, menandakan pertumbuhan dua digit bagi 13 bulan berturut-turut.

Menurutnya, eksport melepasi paras RM100 bilion meningkat sebanyak 16.8 peratus kepada RM102.27 bilion, pertumbuhan dua digit bagi tujuh bulan berturut-turut manakala import berkembang 18.4 peratus kepada RM82.48 bilion dan lebihan perdagangan tumbuh 10.7 peratus kepada RM19.79 bilion.

“Pertumbuhan eksport disokong oleh penghantaran tinggi produk elektrik dan elektronik (E&E) yang dipacu oleh trend pendigitalan global serta minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit.

“Eksport ke pasaran utama, terutamanya ASEAN, China, Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun, merekodkan pertumbuhan dua digit,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) hari ini.

Mohamed Azmin berkata perdagangan, eksport dan import bulan ke bulan masing-masing susut sebanyak 9.2 peratus, 7.9 peratus dan 10.8 peratus, berikutan hari bekerja yang singkat dan musim perayaan pada bulan Februari, manakala lebihan perdagangan meningkat sebanyak 6.6 peratus.

Bagi tempoh dua bulan pertama 2022, perdagangan, eksport dan import mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak 2010.

Perdagangan melonjak sebanyak 21.4 peratus tahun ke tahun kepada RM388.33 bilion; dengan eksport naik 20.4 peratus tahun ke tahun kepada RM213.34 bilion, import meningkat 22.6 peratus tahun ke tahun kepada RM174.99 bilion dan lebihan perdagangan menokok 11.2 peratus tahun ke tahun kepada RM38.35 bilion.

Produk elektrik dan elektronik menyumbang 38.8 peratus daripada jumlah eksport iaitu sebanyak RM39.65 bilion, meningkat 25.8 peratus tahun ke tahun daripada Februari 2021, manakala eksport produk petroleum naik 9.6 peratus tahun ke tahun kepada RM7.32 bilion, menyumbang 7.2 peratus daripada jumlah eksport.

Sementara itu, kimia dan produk kimia berkembang sebanyak 28.2 peratus tahun ke tahun kepada RM6.64 bilion, menyumbang 6.5 peratus daripada jumlah eksport.

Minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit melonjak sebanyak 58.9 peratus tahun ke tahun kepada RM6.26 bilion atau 6.1 peratus daripada jumlah eksport dan pembuatan logam meningkat 31.8 peratus tahun ke tahun kepada RM4.95 bilion atau 4.8 peratus daripada jumlah eksport.

“Pada Februari 2022, perdagangan dengan ASEAN menyumbang 27.6 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat sebanyak 24.6 peratus tahun ke tahun kepada RM51.03 bilion,” katanya.

Semasa bulan tersebut, perdagangan dengan China, yang mewakili 17.4 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat sebanyak 11.9 peratus tahun ke tahun kepada RM32.18 bilion.

Eksport ke China mencatatkan pertumbuhan 19.2 peratus tahun ke tahun kepada RM15.28 bilion susulan eksport tinggi produk E&E serta kimia dan produk kimia, manakala import dari negara tersebut meningkat sebanyak enam peratus kepada RM16.9 bilion.

Mohamed Azmin berkata perdagangan dengan EU yang menyumbang 8.1 daripada jumlah perdagangan Malaysia pada Februari 2022, berkembang sebanyak 17.8 peratus tahun ke tahun kepada RM15.03 bilion.

Beliau berkata eksport ke EU meningkat sebanyak 18.5 peratus kepada RM9.17 bilion — pertumbuhan dua digit bulan kelima berturut-turut, dipacu oleh eksport tinggi produk E&E serta minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit.

“Import dari EU meningkat 16.9 peratus tahun ke tahun kepada RM5.86 bilion,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

766
Kongsi :
Previous post Kementerian Kewangan nafi terima surat peletakan jawatan Tengku Zafrul
Next post Bantuan kepada anak-anak kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 akan segera diserah
Ubah saiz-+=