Periksa premis jual alat ganti, JPJ sedia kerjasama dengan PBT dan KPDN
KESIDANG 14 September- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedia bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengekang penjualan alat ganti kenderaan khususnya motosikal yang menyalahi undang-undang.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, pemeriksaan dengan kerjasama agensi terbabit berikutan PBT selaku pengeluar lesen premis perniagaan jualan alat ganti kenderaan.
Menurutnya, bidang kuasa JPJ hanya termaktub untuk menegakkan undang-undang di atas jalan raya sahaja namun usaha bersama pihak berkaitan dapat membanteras isu ubah suai motosikal.
“Setiap kenderaan motor wajib melalui prosedur oleh Jawatankuasa Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) sebelum layak dipasarkan dan didaftarkan bagi kegunaan di atas jalan raya di negara ini
“Penjualan alat ganti yang tidak disahkan oleh JPJ sebagaimana diluluskan dalam VTA itu adalah di bawah tanggungjawab PBT yang mana lesen-lesen premis mereka mestilah mengikuti peraturan-peraturan ini.
“JPJ hanya berkuasa menegakkan undang-undang di atas jalan raya sebab itu untuk langkah ke hadapan kita cadangkan untuk adakan operasi bersama PBT dan KPDN serta badan tertentu yang diberi kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai Ops Khas Motosikal di Malim di sini malam tadi.
Mengulas lanjut Lokman berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan berkaitan bagi menguatkuasakan undang-undang jalan raya di negara ini.
“Kami sangat bersedia dan sememangnya ada dalam rancangan pada masa hadapan untuk terlibat dalam operasi bersama agensi yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen (perniagaan) alat ganti motosikal dan kenderaan lain,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.