Penjaja, peniaga di Melaka wajib carum PERKESO untuk perbaharui lesen perniagaan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 14 September – Kerajaan Negeri mewajibkan semua penjaja dan peniaga kecil yang mahu memperbaharui lesen perniagaan atau mengambil lesen baharu, mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata golongan peniaga atau penjaja itu boleh mencarum dengan nilai serendah RM3.88 sehari.

Katanya, usaha itu bagi memberi perlindungan kepada pihak penjaja dan peniaga itu sendiri sekiranya golongan terbabit ditimpa musibah.

“Kita telah meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memaklumkan kepada peniaga dan penjaja apabila mereka mahu memperbaharui atau membuat lesen wajib untuk mencarum PERKESO bermula pada bulan Disember ini.

“Langkah ini bagi memberi perlindungan kepada diri mereka sendiri dan sekurang-kurangnya ia dapat memastikan sekiranya berlaku perkara tidak diingini, ahli keluarga mereka dapat meneruskan kehidupan menerusi caruman yang dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri September 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata usaha itu juga merupakan inisiatif pihak PBT agar melestarikan rakyat yang meniaga sendiri ini dapat diteruskan.

“Perkara ini wajib dilaksanakan oleh semua PBT untuk melestarikan peniaga dan penjaja di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1289
Kongsi :
Previous post Penyertaan lebih 3,000 pemidato bukti rakyat dalami prinsip Rukun Negara
Next post Periksa premis jual alat ganti, JPJ sedia kerjasama dengan PBT dan KPDN
Ubah saiz-+=