Kes HFMD di Melaka menurun, terkawal – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 14 September – Sebanyak 4,224 kes penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di seluruh negeri Melaka pada Januari 2023 sehingga 9 September lalu.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan positif berbanding tahun 2022 iaitu dengan 6,757 kes.

“Daripada jumlah ini juga sebanyak 84 peratus kes adalah dalam kalangan bayi dan kanan-kanak yang berumur antara 0 hingga 6 tahun.

“Secara keseluruhan, jangkitan HFMD di Melaka masih terkawal yang mana bilangan kes yang dilaporkan adalah rendah berbanding tahun lepas.

“Tiada laporan kes kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) atau kematian setakat ini dan pemantauan ‘enterovirus’ juga mendapati CA16 dan CA6 masih dominan dan tiada EV71 yang dilaporkan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Beliau turut menjelaskan sebanyak 259 kes HFMD direkodkan di seluruh negeri ini bagi Minggu Epid ke-36 tahun 2023 (3 September 2023 – 9 September 2023).

“Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 25.7 peratus berbanding sebanyak 206 kes yang didaftarkan pada minggu sebelumnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa agar ibu bapa dan pengendali pusat asuhan kanak-kanak mengambil serius penularan wabak ini.

“Jangan hantar anak yang mempunyai simptom HFMD ini ke pusat jagaan atau sekolah, (kerana) ia bukan sahaja membahayakan anak sendiri tetapi boleh menular kepada kanak-kanak lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1363
Kongsi :
Previous post Periksa premis jual alat ganti, JPJ sedia kerjasama dengan PBT dan KPDN
Next post Dari Beijing ke Melaka, suri rumah johan pidato
Ubah saiz-+=