Perkhidmatan feri Pulau Pinang diteruskan

Masa Membaca:57 Saat

KUALA LUMPUR 17 Dis. –  Perkhidmatan feri Pulau Pinang akan diteruskan mengikut syarat pembiayaan kerajaan kepada Pelabuhan Pulau Pinang, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan RM30 juta kepada Pelabuhan Pulau Pinang bagi mengambil alih perkhidmatan feri.

“Saya mengesahkan peruntukan itu seperti yang diluluskan sebelum ini, akan dibayar secara dua ansuran tahunan, iaitu RM15 juta untuk 2021 adalah termasuk dalam peruntukan yang diluluskan dalam Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.

“Baki RM15 juta akan disediakan. Kerajaan akan memastikan Pelabuhan Pulau Pinang disyaratkan untuk meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik dan berwarisan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Isu berkaitan perkhidmatan feri Pulau Pinang dibangkitkan Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada sesi perbahasan rang undang-undang itu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang mengumumkan perkhidmatan feri Pulau Pinang, yang menghubungkan tanah besar di Seberang Perai dengan bahagian pulau negeri itu sejak 126 tahun lepas, akan diganti dengan bot penumpang laju bermula 1 Jan manakala feri sedia ada pula hanya digunakan sebagai medium pengangkutan bagi pengguna basikal dan motosikal.

— BERNAMA

Views:

1219
Kongsi :
Previous post Ekonomi Malaysia dijangka pulih pada 2021
Next post Polis Melaka wujud kumpulan Telegram kongsi maklumat barang curi
Ubah saiz-+=