Permudah pendaftaran PADU di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

SERI NEGERI 6 Mac – Seramai 1,200 orang wakil dari setiap Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN), Jabatan Persekutuan dan Negeri termasuk pemimpin tempatan serta komuniti menyertai sesi libat urus Pangkalan Data Utama (PADU) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 13 Disember lalu.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata langkah itu bagi memastikan pendaftaran PADU di negeri ini berjaya mencapai sasaran ditetapkan.

Katanya, sesi libat urus terbabit adalah untuk membantu pengguna terutamanya warga emas dan penduduk luar bandar melengkapkan pendaftaran dan mengemaskini PADU.

“Selain daripada pembukaan kaunter fizikal yang tetap, pasukan kerja PADU Melaka turut membuka kaunter fizikal mengikut permintaan rasmi dari Japerun, Pusat Komuniti Desa (PKD), pejabat agensi Persekutuan, Negeri dan Kerajaan Tempatan serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Selain daripada perancangan rasmi peringkat negeri, inisiatif berbentuk sukarelawan turut dilaksanakan melalui Pelajabt Perhubungan Parlimen dan DUN.

“Golongan rentan turut dibantu dengan membuka kaunter serta melawat individu yang terlantar di Rumah Seri Kenangan dan, Cheng selain golongan orang kurang upaya (OKU) di Pejabat Persatuan Cacat Penglihatan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) pada Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata gerak kerja untuk menyantuni masyarakat Orang Asli telah dirancang bersama Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Melaka untuk membuka kaunter fizikal di penempatan terbabit.

“Gerak kerja telah dirancang bagi memudahkan rakyat khususnya warga emas di negeri ini untuk mendaftar.

“Promosi PADU di masjid, surau, pasar raya dan lokasi tumpuan umum turut dilaksanakan dan sehingga 5 Mac sebanyak 612 bilangan kaunter telah dibuka untuk membantu rakyat Melaka kemas kini PADU,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

907
Kongsi :
Previous post Izinkan saya berkhidmat untuk Melaka dengan jujur, amanah – KM
Next post 5 kelemahan Zon Bebas Kenderaan berjaya diatasi
Ubah saiz-+=