5 kelemahan Zon Bebas Kenderaan berjaya diatasi

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

SERI NEGERI 6 Mac – Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) berjaya menyelesaikan lima kelemahan yang dikenal pasti susulan pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan sejak 19 Ogos 2023 yang lalu.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, antara permasalahan yang timbul ialah seperti kawasan perniagaan di Melaka Raya yang terjejas, selain perubahan hala Jalan Kee Ann, Lorong Bukit Cina dan Jalan Bukit Cina yang menimbulkan kesulitan pengguna jalan raya.

Selain itu, aduan turut diterima daripada penganut Kristian Katolik yang mengalami kesukaran untuk ke Gereja St Francis Xavier; kesesakan lalu lintas di kawasan Banda Hilir dan kawasan sekitar serta isu tempat letak kenderaan.

Meskipun begitu, ujar beliau, kesemua isu tersebut berjaya diselesaikan hasil tindakan proaktif MBMB yang mengambil langkah segera, misalnya mengenai masalah di Melaka Raya, tindakan segera diambil dengan membenarkan kenderaan ke Melaka Raya melalui simpang di hadapan Garden City tanpa perlu membuat pusingan U di hadapan Element Mall.

“Selain itu, MBMB turut mengembalikan laluan Jalan Kee Ann, Lorong Bukit Cina dan Jalan Bukit Cina kepada asal.

“Manakala untuk masalah membabitkan penganut katolik, MBMB telah memendekkan jarak penutupan jalan yang hanya mula ditutup bermula selepas simpang jalan Banda Kaba (hadapan Bangunan Madonna) dan membolehkan kenderaan dari Jambatan Chan Koon Cheng memasuki Jalan Banda Kaba dan seterusnya meletakkan kenderaan di kawasan Bangunan Tabung Haji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) pada Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Rais, mengenai isu kesesakan di Banda Hilir dan kawasan sekitar, MBMB juga telah mengambil langkah dengan hanya menutup satu jalan sahaja selama 55 jam sepanjang pelaksanaan Zopn Bebas Kenderaan iaitu Jalan Laksamana.

Di samping itu, Kerajaan Negeri turut membuka laluan alternatif bagi kenderaan bermula jam 1 pagi hingga 6 petang pada hari Sabtu dan Ahad iaitu di Lorong Hang Jebat dan melalui Jambatan Tan Kim Seng sebelum keluar ke Jalan Tun Khalil Yaakob untuk ke Plaza Mahkota.

Tambah beliau, bagi permasalahan terakhir iaitu kekurangan petak letak kenderaan pula, MBMB telah mengenal pasti 15 lokasi tempat letak kereta dan dua lokasi tempat letak bas di sekitar kawasan Zon Bebas Kenderaan.

“Ia membabitkan sebanyak 5,028 lot parkir kereta dan 14 lot untuk bas,” ujar beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

286
Kongsi :
Previous post Permudah pendaftaran PADU di Melaka
Next post Melaka mahu jadi negeri terbaik bebas rasuah
Ubah saiz-+=