
PERSIAPAN SAMBUT WTD2025 CAPAI 90 PERATUS
REMBIA 3 Ogos – Persiapan bagi menyambut Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) kini hampir selesai dengan hanya berbaki 10 hingga 15 peratus sahaja sebelum acara berprestij itu berlangsung di Melaka pada September ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pihaknya yakin acara itu akan mendapat sambutan menggalakkan dari negara anggota Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) yang telah dijemput.
“Persiapan kini hampir selesai dan saya yakin kehadiran wakil-wakil negara anggota UNWTO akan lebih meriah memandangkan kita mengetengahkan keunikan tapak warisan UNESCO di Melaka.
“Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) akan diadakan di Hotel Double Tree Hilton, manakala majlis makan malam WTD2025 serta pelancaran Tahun Melawat Malaysia akan berlangsung di Encore,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia di Japerun Rembia di sini, hari ini.
Turut hadir Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Kerja Raya Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Zahari Abd Kalil serta Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas.
Abdul Razak turut mengajak seluruh rakyat khususnya Melaka hadir memeriahkan acara berkenaan yang bakal menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan dan kesenian dari 14 negeri di seluruh negara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.