Peruntukan lebih RM1 juta baik pulih 29 SRA JAIM

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

SERI NEGERI 7 Mac – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memperuntukkan sejumlah RM1,121,482.52 bagi membaik pulih sebanyak 29 Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM tahun lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM68,498.90 diperuntukkan bagi membaik pulih tiga SRA JAIM dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning.

“Selain itu, sebanyak RM302,003.90 peruntukan diluluskan untuk kerja membaik pulih SRA dalam kawasan Taboh Naning pada tahun 2022 dan pada tahun 2021 sebanyak RM21,731.30.

“Ini menjadikan jumlah peruntukan yang diluluskan untuk membaik pulih SRA JAIM dalam kawasan Taboh Naning bagi tempoh tiga tahun adalah sebanyak RM392,234.10,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Zulkiflee Mohd Zin (BN-Taboh Naning) pada Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, JAIM juga sedang merancang membina baharu bangunan SRA JAIM Simpang Empat dengan kapasiti sembilan bilik darjah untuk menampung kepadatan murid di sekolah itu.

“Bagaimanapun, urusan pengambilan tanah perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum kita membina bangunan baharu sekolah ini.

“Pihak JAIM juga telah menubuhkan SRA baharu di DUN Taboh Naning bagi tahun 2023 iaitu SRA JAIM Al-Ikhwan Kampung Orang Asli Bukit Payung menjadikan jumlah keseluruhan sembilan SRA di DUN ini,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

401
Kongsi :
Previous post Dewan Belia Negeri Melaka bersidang Jun depan
Next post Wujud sekolah autisme untuk golongan B40
Ubah saiz-+=