Peruntukan TPPM KPKT bantu baik pulih sistem paip pangsapuri

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

SERI NEGERI 15 Disember – Badan pengurusan pangsapuri awam dan swasta di negeri ini boleh memohon peruntukan menerusi Tabung Penyelenggaran Perumahan Malaysia (TPPM) dalam membaik pulih sistem perpaipan untuk mengatasi masalah tekanan air.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan berkata, pengurusan secara berjadual sistem perpaipan di kediaman tersebut bukan di bawah tanggungjawab Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) memandangkan bangunan itu milik pihak swasta dan ada sebahagian di bawah kementerian.

Berikutan itu, katanya, bagi membantu pengurusan pangsapuri menangani masalah perpaipan, pihaknya melakukan bantuan secara program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Antara tempat yang diberi keutamaan dalam program CSR oleh SAMB adalah membina tambahan paip naik tambahan untuk tujuh blok di Malim Jaya iaitu tiga blok di Pangsapuri Bunga Raya dan empat blok di Pangapuri Orkid.

“Penambahbaikan itu dilakukan pada 3 Januari dan siap pada 28 Februari, menelan belanja RM97,500,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Seah Shoo Chin (PH-Kesidang) pada Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihak Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dari semasa ke semasa juga memohon peruntukan TPPM daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menjalankan kerja penyelenggaran sistem perpaipan kediaman itu.

“Walau bagiamanapun bagi membantu kerja penyelenggaran rumah pangsa awam dan swasta, badan pengurusan bersama (JMB) boleh memohon peruntukan khusus untuk kerja penyelenggaran di bawah TPPM KPKT,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1399
Kongsi :
Previous post Lelaki ditahan disyaki miliki bahan pornografi kanak-kanak
Next post 455 hotel di Melaka masih beroperasi – Exco
Ubah saiz-+=