455 hotel di Melaka masih beroperasi – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

SERI NEGERI 15 Disember – Sebanyak 455 daripada lebih 500 hotel masih beroperasi di negeri ini selepas melalui era pandemik COVID-19.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, walaupun terdapat kira-kira 100 buah hotel telah menghentikan operasi, namun statistik menunjukkan industri perhotelan Melaka masih antara yang terbaik dalam negara membabitkan proses pemulihan.

Katanya, dalam membantu sektor perhotelan di negeri ini, Kerajaan Negeri sentiasa memainkan peranan menjadi penasihat dalam keputusan perniagaan tanpa mencampuri urusan dalaman mereka.

“Seperti contoh Freeport A’Famosa Outlet yang mana kerajaan telah memain peranan dalam menasihati operasi mereka diteruskan dan akhirnya kini lihatlah betapa meriah dan berjayanya operasi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Dr Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai udang) yang dibacakan Dr Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) pada Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, akibat impak COVID-19 sebelum ini, seramai 10,500 pekerja perhotelan di negeri ini terjejas.

Ia membabitkan empat peratus atau 420 orang diberhentikan kerja, sembilan peratus atau 945 orang berdepan pemotongan gaji dan 17 peratus atau 1,785 diberi cuti tanpa gaji.

Meskipun begitu, Muhammad Jailani berkata, berkata usaha berterusan yang dilakukan Kerajaan Negeri, sektor pelancongan di Melaka semakin pulih dengan mencatat pertambahan kehadiran pelancong saban minggu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1748
Kongsi :
Previous post Peruntukan TPPM KPKT bantu baik pulih sistem paip pangsapuri
Next post RM5 juta diperlukan kontinjen Melaka hadapi Sukma 2024
Ubah saiz-+=