
PERZIM BAWA PAMERAN ‘PELABUHAN MELAKA’ KE KEDAH
BANDA HILIR 25 Julai – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) memperkenalkan khazanah sejarah Negeri Melaka pada Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 (HMA 2025) di Muzium Padi, Alor Setar, Kedah.
Festival bermula 23 hingga 29 Julai 2025 itu dianjurkan Jabatan Muzium Malaysia dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Kedah, bertujuan memartabatkan institusi muzium sebagai pusat pembelajaran sejarah dan budaya negara.
Pengurus Besar PERZIM, Erne Hamsah berkata, penyertaan PERZIM tahun ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara warga muzium seluruh negara, malah menjadi platform untuk mengetengahkan warisan Melaka kepada masyarakat umum.
“Selain menyertai acara sukan dan seminar, pameran muzium merupakan peluang terbaik untuk PERZIM menonjolkan kepakaran serta menarik minat pengunjung terhadap sejarah dan keunikan Melaka.
“Kali ini PERZIM mengetengahkan tajuk pameran bertemakan ‘Pelabuhan Melaka’ yang mengangkat era kegemilangan zaman Kesultanan Muzaffar Syah (1446), ketika Melaka muncul sebagai pusat dagangan utama di rantau ini.
“Antara koleksi eksklusif yang dipamerkan termasuk meriam rentaka, mata wang timah serta mata wang Zaman Kesultanan Melaka yang menjadi bukti kekayaan sejarah dan jaringan perdagangan antarabangsa Melaka,” katanya.
Bertemakan ‘Inovasi Muzium: Digitalisasi dalam Memartabatkan Warisan Negara’, festival itu turut memberi ruang kepada PERZIM bagi menyokong usaha transformasi digital dalam pengurusan dan penyampaian warisan.
Turut menyertai pameran itu Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan serta kontinjen PERZIM.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.