
PERZIM BERHASRAT ANJUR PAMERAN ‘PANGLIMA AWANG’ SIRI KEDUA
DUYONG 17 Oktober – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) berhasrat meneruskan kesinambungan Pameran Pelayaran Bersejarah Wira Laut Dunia: Enrique de Malaca atau Panglima Awang melalui penganjuran siri kedua bertujuan memperluas pengetahuan masyarakat tentang tokoh pelayar tersebut.
Pengurus Besar PERZIM, Erne Hamsah, berkata pameran pertama diadakan dari 23 September hingga 14 Oktober lalu menerima sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 22,000 pengunjung, termasuk delegasi antarabangsa sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.
Menurutnya, maklum balas positif pengunjung menjadi dorongan utama kepada PERZIM untuk mempertimbangkan penganjuran pameran lanjutan yang akan menumpukan kepada misteri kehilangan serta perjalanan akhir Panglima Awang.
“Kita akan teruskan kajian mengenai tokoh ini. Jika hasil kajian baharu dapat diperoleh, tidak mustahil pameran kedua akan diadakan sebagai sambungan kepada pameran pertama.
“Bagaimanapun, ia masih pada peringkat cadangan dan memerlukan persetujuan Kerajaan Negeri,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Perasmian Seminar Hang Tuah di Auditorium Hang Tuah Centre, Perkampungan Hang Tuah, di sini, semalam.

ERNE HAMSAH. Foto Muhammad Rasul Azli Samad
Seminar itu dirasmikan Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP), Prof Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah; Pengurus Besar Institut Seni Warisan Melaka (INSWA), Drs. Mohd Nasaruddin Rahman serta Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr. Muhammad Salleh.
Erne berkata, pihaknya turut meneliti kemungkinan menganjurkan pameran seterusnya di lokasi berhampiran Banda Hilir atau tarikan bersejarah lain bagi memudahkan akses pengunjung tempatan dan pelancong luar.
“Rata-rata pengunjung memberikan maklum balas positif di media sosial kerana memperoleh pengetahuan baharu mengenai tokoh yang selama ini kurang diketengahkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.