PGA tumpas cubaan seludup ketum guna kontena ke negara jiran

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

PADANG BESAR 28 Sept. – Taktik menggunakan kontena sebagai medium baharu penyeludupan daun ketum terbongkar apabila aktiviti itu berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam satu serbuan hasil intipan oleh anggota pasukan itu, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu, Superintendan Ramli Wan Salin berkata, pihaknya membuat intipan selama seminggu dan mendapati mereka (suspek) akan mengumpulkan bekalan daun ketum untuk dipenuhkan di dalam kontena sebelum dihantar ke negara jiran.

“Kira-kira jam 3 petang semalam, PGA telah menyerbu tapak pengurusan kontena sebuah syarikat kargo di sini dan menemukan hampir 700 kilogram daun ketum disembunyikan di dalam kontena dengan anggaran nilai RM21,000.

“Saya percaya ini taktik terbaru mereka memandangkan daun ketum mendapat permintaan tinggi di negara jiran setelah kerajaan di sana membenarkan bahan terlarang itu dikeluarkan daripada senarai narkotik,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Menurut Ramli, seorang suspek berusia 41 tahun disyaki pengurus kontena syarikat kargo berkenaan ditahan bagi siasatan lanjut.

Ramli berkata, pihaknya juga mengesyaki ada bantuan daripada pihak tertentu berupa sindiket yang bertindak membawa masuk bekalan daun ketum dipercayai dari Perlis dan Kedah untuk diisi dalam kontena tersebut.

“Kalau sebelum ini, daun ketum disembunyikan di kawasan semak dan diletakkan di kawasan pagar sempadan, tetapi ini taktik baharu oleh suspek,” katanya.

PGA turut menyita dua kontena dan sebuah motosikal dengan keseluruhan rampasan bernilai RM50,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Ia akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

756
Kongsi :
Previous post Jual minyak masak terpakai untuk tambah pendapatan
Next post Wee nafi dakwaan peraturan baru, cat biru bahagian bampar bas sekolah
Ubah saiz-+=