Piala Tun Ali 2022 medan cari pelapis sepak takraw negara

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDARAYA MELAKA 7 Ogos – Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2022 yang akan diadakan 15 hingga 21 Ogos ini bakal menjadi medan mencari pelapis baharu sukan sepak takraw di negara ini.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, ia berikutan beberapa pasukan yang beraksi pada kejohanan itu akan menampilkan bakat-bakat muda pada edisi sulung kejohanan itu.

Menariknya, beliau berkata, kejohanan ini bakal mempertandingkan acara beregu (double) buat kali pertama yang mana ia sebagai langkah besar kepada persediaan pasukan negara menghadapi kejohanan besar pada masa akan datang.

“Selain acara regu, kita akan turut mempertandingkan acara beregu daripada semua pasukan yang bertanding kerana kita mahu ketengahkan acara beregu ini supaya bila ada kejohanan di peringkat Sukan Asia atau Sukan Sea kita sudah biasa.

“Pada masa sama, kejohanan ini juga merupakan antara program pembangunan yang kita lakukan untuk mencari pelapis baharu kerana saya difahamkan ada beberapa negeri akan menonjolkan pemain Sukan Malaysia (Sukma) iaitu pemain bawah 20 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2022 yang dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di Hotel La Crista, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz.

Mengulas lanjut mengenai kejohanan yang akan berlangsung di Dewan Bola Keranjang MBMB Bukit Serindit itu, Sumali berkata, ia akan disertai 16 pasukan dari seluruh negara termasuk satu pasukan jemputan khas dari Singapura.

Katanya, semua pasukan juga dibenarkan menyenarai pemain import untuk mana-mana posisi sebagai memeriahkan lagi kejohanan tersebut.

Johan bagi kategori regu akan menerima RM10,000 dan piala manakala johan acara beregu bakal membawa pulang hadiah RM8,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2357
Kongsi :
Previous post Melaka jadi tumpuan sukan sepak takraw – KM
Next post Rombakan tidak jejas kem sepak takraw negara
Ubah saiz-+=