Melaka jadi tumpuan sukan sepak takraw – KM

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BANDARAYA MELAKA 7 Ogos – Melaka bakal menjadi tumpuan peminat sukan sepak takraw apabila bakal menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2022 yang dijadual berlangsung di Dewan Bola Keranjang MBMB Bukit Serindit pada 15 hingga 21 Ogos ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kejohanan yang julung kali diadakan itu merupakan ilham dan cetusan idea Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam sendiri.

Menurutnya, penganjuran kejohanan itu secara tidak langsung dapat menjadikan Melaka sebagai pusat pembangunan sukan sepak takraw yang efektif dan produktif, selain mempromosikan negeri ini sebagai salah satu destinasi pelancongan sukan.

“Kerajaan negeri akan sentiasa menyokong penganjuran Kejohanan Sukan Sepak Takraw ini demi memperkasa industri sukan khususnya sukan sepak takraw di Negeri Melaka yang juga mampu menjulang nama negeri di peringkat dunia.

“Kita sentiasa menggalakkan penganjuran acara sukan seperti ini kerana Melaka mempunyai fasiliti yang cukup baik yang diyakini mampu menganjurkan sukan sama ada di peringkat negeri, kebangsaan mahupun bertaraf dunia.

“Malah, saya turut difahamkan, Tuan Yang Terutama Tun Mohd Ali turut mencadangkan agar kejohanan itu dijadikan sebagai acara tahunan dalam program sukan Negeri Melaka setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2022 di Hotel La Crista, di sini, hari ini.

Gimik pelancaran kejohanan itu telah disempurnakan Tun Mohd Ali.

Hadir sama, Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz.

Sulaiman berkata, lebih menarik, kejohanan yang diselaraskan PSM dan Persatuan Sepaktakraw Negeri Melaka (PASTAM) itu akan turut disiarkan secara langsung menerusi platform Astro Arena.

Katanya, sebanyak 17 pasukan termasuk Singapura bakal berentap bagi merebut gelaran juara pada kejohanan itu nanti.

“Syukur Alhamdulillah, saya percaya, dengan peluang yang diberikan ini, kita juga dapat mempromosi Melaka sebagai destinasi pelancongan kepada peminat-peminat sepak takraw khususnya,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1794
Kongsi :
Previous post Tampoi FC ‘gegau’ Liga Melaka Divisyen 1
Next post Piala Tun Ali 2022 medan cari pelapis sepak takraw negara
Ubah saiz-+=