Pimpinan BN tiba di Menara Dato’ Onn untuk Mesyuarat Dewan Tertinggi

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Beberapa pimpinan Barisan Nasional (BN) mula tiba di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini bagi menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

Antara yang kelihatan tiba setakat 11.15 pagi ini ialah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan.

Turut kelihatan Pengerusi BN dan Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon dan Pengerusi BN Melaka dan tiga Ahli Majlis Tertinggi UMNO iaitu Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Mesyuarat hari ini penting untuk menentukan pendirian BN sama ada akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) untuk melengkapkan jumlah kerusi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pagi Ahad, BN kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 apabila menang hanya 30 kerusi manakala PH dan PN masing-masing memenangi 82 dan 73 kerusi.

Dengan situasi Parlimen tergantung kerana tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan, PH dan PN perlu mencari pakatan untuk menubuh kerajaan baharu.

Sementara itu, Jalaluddin ketika bercakap kepada media sebelum menghadiri mesyuarat berkata buat masa ini, BN belum membuat sebarang keputusan untuk bersama dengan PH lagi.

“Saya masih lagi berpegang kepada keputusan (pendirian) yang dibuat oleh pimpinan UMNO dan BN sebelum ini bahawa tidak akan ada kerjasama dgn PH. Kalau hendak bentuk gabungan kerajaan maka kami perlu mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM),” kata Ahli Parlimen Jelebu itu.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2181
Kongsi :
Previous post Penjual buah maut ditikam di rusuk kanan
Next post GPS serah pelantikan PM ke-10 kepada kebijaksanaan Agong
Ubah saiz-+=