Pinjam kenderaan kawan alasan warga asing ‘bebas’ di jalan raya

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

LENDU 22 Februari – Rakan memberi pinjam kenderaan menjadi antara alasan yang digunakan warga asing untuk ‘menghalalkan’ diri mereka bebas memandu dan menunggang di jalan raya.

Namun, tindakan itu mengundang padah apabila mereka ditahan dalam Operasi Khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka di Pekan Masjid Tanah, di sini, petang semalam.

Sebanyak tujuh kenderaan yang dipandu dan ditunggang warga asing menjadi antara 17 yang disita dalam operasi yang berlangsung selama dua jam itu.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, terdapat beberapa kesalahan membabitkan warga asing yang dikesan dalam operasi itu, antaranya tidak memiliki lesen, kenderaan tidak mempunyai insurans serta pelbagai lagi.

“Antara alasan yang diberi mereka adalah mereka tidak tahu berkaitan undang-undang untuk memiliki lesen, tidak dimaklumkan pemilik kenderaan dan ada yang mengatakan mereka meminjam kenderaan rakan untuk bebas bergerak di sekitar Masjid Tanah.

“Dalam operasi ini JPJ Melaka telah memeriksa 428 kenderaan dan telah menyita 14 motosikal serta tiga kereta yang mana tujuh daripadanya dipandu dan ditunggang warga asing.

“Kita memberi peringatan kepada warganegara Malaysia agar tidak membenarkan warga asing menggunakan kenderaan mereka kerana jika ia berlaku, tindakan tegas akan diambil.

“Buat masa ini JPJ Melaka akan menyita kenderaan ini dan pemilik serta pemandu warga asing ini akan diambil tindakan sewajarnya,” tegasnya pada sidang media selepas operasi berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi itu turut dijalankan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang mana ia memfokuskan kepada operasi motosikal dan operasi khas teknikal bagi memaksimumkan pematuhan dan keselamatan kenderaan.

Katanya, seramai 36 anggota JPJ dan lapan anggota AADK terlibat dalam operasi tersebut.

“Dalam operasi ini sebanyak 107 daripada keseluruhan kenderaan yang diperiksa telah dikenakan tindakan membabitkan pelbagai kesalahan seperti kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM), lesen memandu, kesalahan teknikal dan lain lain kesalahan.

“Lain lain kesalahan yang disita kali ini juga melibatkan pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai insurans dan LKM yang tamat tempoh.

“Selain itu, seramai 24 orang turut diarah menjalani saringan air kencing dalam operasi berkenaan dan kesemuanya negatif barang terlarang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

877
Kongsi :
Previous post Jonker Walk sedia sambut tetamu rumah terbuka
Next post Tazkirah sepanjang Ramadan pada ketinggian 80 meter
Ubah saiz-+=