Tazkirah sepanjang Ramadan pada ketinggian 80 meter

Masa Membaca:55 Saat

BANDA HILIR 22 Februari – Umat Islam berpeluang menikmati keindahan Banda Hilir dan Selat Melaka pada waktu malam sambil mendengar tazkirah ringkas di atas Menara Taming Sari sepanjang Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad (MTSB), Nasrul Ahmad berkata program keagamaan itu antara aktiviti yang dirancang untuk mengimarahkan bulan suci itu.

Katanya, mengikut perancangan MTSB akan menjemput penceramah yang mendapat tauliah daripada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

“Tazkirah itu dijangka mengambil masa 20 ke 30 minit dan dilaksanakan pada ketinggian kira-kira 80 meter. Kami mahu menawarkan satu pengalaman baharu kepada pengunjung.

“Turut dirancang adalah kuliah Dhuha pada waktu siang. Selain itu MTSB turut akan agihkan bubur lambuk serta jalankan beberapa program tahunan yang lain.

“Bagaimanapun, perancangan ini akan dilaksanakan jika diberi kebenaran pihak JAIM dan kita percaya ia mampu menarik lebih ramai pengunjung hadir meskipun pada bulan puasa,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, Nasrul memaklumkan tawaran kemasukan percuma bersempena cuti umum Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 Februari lepas telah merekodkan kehadiran seramai 6,856 pengunjung.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

409
Kongsi :
Previous post Pinjam kenderaan kawan alasan warga asing ‘bebas’ di jalan raya
Next post Suasana pilu selubungi Istiadat Penghormatan negeri Abdul Taib di DUN Sarawak
Ubah saiz-+=