Jonker Walk sedia sambut tetamu rumah terbuka

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDARAYA MELAKA 21 Februari – Berbaki kurang 24 jam sebelum berlangsungnya majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Negeri Melaka 2024, segala persiapan kini giat dijalankan.

Bertempat di Jonker Walk, penganjuran majlis itu dijangka berlangsung meriah dan dikunjungi ribuan pengunjung termasuk kehadiran pelancong luar negara.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, segala persiapan untuk majlis berkenaan berjalan lancar dan diyakini sedia untuk menyambut kehadiran tetamu.

“Penganjuran rumah terbuka di Jonker Walk ini adalah pertama kali dibuat jadi beberapa perkara perlu diberi perhatian bagi memastikan majlis berlangsung dengan baik.

“Malah raptai juga turut diadakan untuk melihat sekiranya terdapat kekurangan yang perlu diperbaiki sebelum majlis sebenar berlangsung pada jam 7 malam esok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika turun padang melihat persiapan sambutan di perkarangan pentas utama Jonker Walk, hari ini.

Menurutnya, orang ramai khususnya rakyat Melaka yang ingin berkunjung ke rumah terbuka itu diminta untuk merancang perjalanan dan tiba lebih awal bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

“Kita jangkakan kira-kira 15,000 pengunjung akan hadir jadi saya harap mereka yang ingin hadir, datang lebih awal bagi mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

“Malah ia juga bagi melancarkan urusan mengimbas kod QR bagi mendapatkan kupon bernilai RM15 untuk dibelanjakan sepanjang berlangsungnya majlis.

“Untuk makluman, kupon itu kita sediakan untuk 10,000 orang terawal sahaja dan pengunjung boleh mendapatkan kupon itu di laluan masuk ke pentas utama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mamee-Double Decker Datuk Gary Choo Kok Sen berkata, pemilihan Jonker Walk sebagai lokasi Rumah Terbuka Tahun Baru Cina adalah tepat memandangkan pengunjung dapat merasai suasana perayaan di lokasi yang dipenuhi hiasan tanglung.

“Untuk itu orang ramai bukan sahaja penduduk Melaka malah dari luar negeri ini turut dialu-alukan untuk datang bersama-sama kita raikan sambutan Tahun Baru Cina sekali gus menjayakan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Malah di Mamee Jonker House juga kita turut menawarkan diskaun menarik buat pengunjung bersempena TMM2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1781
Kongsi :
Previous post RM3.425 juta naik taraf Zoo Melaka
Next post Pinjam kenderaan kawan alasan warga asing ‘bebas’ di jalan raya
Ubah saiz-+=