RM3.425 juta naik taraf Zoo Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 21 Februari – Zoo Melaka memperuntukkan RM3.425 juta bagi kerja-kerja menambah baik operasi taman haiwan itu sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron berkata peruntukan tersebut dibahagi kepada lima bahagian iaitu kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih fasiliti serta kemudahan yang terdapat di Zoo Melaka.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.44 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja membaik pulih pameran termasuk kerja-kerja baik pulih kemudahan awam seperti gazebo dan kerja-kerja berkaitan di kawasan Seksyen Primate Zoo Melaka.

“Manakala sebanyak RM760,000 bagi kerja-kerja menaik taraf pameran termasuk membaik pulih bangunan pejabat pengurusan, bilik mesyuarat Zoo Melaka, bangunan kuarantin, klinik haiwan, bangunan stor makanan haiwan, stor alat tulis, stor ubat-ubatan dan kerja-kerja berkaitan Zoo Melaka.

“Turut diperuntukkan sebanyak RM600,000 untuk membaik pulih bumbung teduhan haiwan di pameran-pameran haiwan, pameran badak putih, pameran beruang matahari, baik pulih ‘nightstall’ siamang dan pameran ‘Bird of Paradise’ serta kerja-kerja berkaitan pameran kambing gurun,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Sapiah, MPHTJ turut memperuntukkan RM610,000 untuk menaiktaraf kemudahan awam di Zoo Melaka bagi keselesaan pengunjung.

“Antara yang diperuntukkan ialah RM15,000 untuk kerja-kerja baik pulih kemudahan bekalan air terawat dan kemudahan bekalan air mentah untuk kegunaan kolam-kolam pameran haiwan di Seksyen Primate Zoo Melaka.

“Selain itu, ia turut membabitkan cadangan baik pulih generator bagi kegunaan kecemasan kemudahan bekalan elektrik dan cadangan untuk membekal, memasang serta menguji tauliah dua buah ‘build in chiller’ dan peti sejuk di bangunan penyediaan makanan haiwan,” katanya.

Menurut Sapiah, kesemua peruntukan telah diluluskan menerusi Peruntukan Bajet MPHTJ untuk Tahun 2024 dan kerja-kerja berkenaan akan dilakukan tahun ini juga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

440
Kongsi :
Previous post Menara Taming Sari beri layanan istimewa
Next post Jonker Walk sedia sambut tetamu rumah terbuka
Ubah saiz-+=